Berita

Selangor kekal negeri terkaya di Semenanjung

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER: Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang di Parlimen Isnin lalu menunjukkan Selangor di bawah tadbiran Pakatan Rakyat terus kekal menjadi negeri terkaya di Semenanjung.

Walaupun Selangor bukan negeri pengeluar minyak dan gas, tetapi ketelusan dan urus tadbir yang baik yang diamalkan oleh kerajaan Selangor telah dibuktikan dalam analisa laporan Ketua Audit Negara dalam aktiviti kewangan yang telah dikeluarkan.

Penyata kedudukan kewangan yang ditunjukan pada akhir 2011 bagi kerajaan negeri Selangor adalah berjumlah RM1,944.01 juta iaitu sekitar 22.5% berbanding negeri Johor yang juga dikatakan sebagai negeri kubu terkuat UMNO yang hanya mencatatkan RM450.50 juta dan jumlah ini menunjukkan pencapaian Johor adalah  -10.9% berbanding tahun sebelumnya. Manakala Jumlah kewangan yang berjaya dikumpulkan di Perak hanya berjumlah RM780.73 juta iaitu cuma meningkat hanya 2.0% dari tahun sebelumnya.

Daripada hasil laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara, jumlah yang telah dikumpulkan di Selangor, Johor dan Perak ini adalah berdasarkan perbandiangan anggaran hasil termasuk hasil cukai, hasil bukan cukai dan juga terimaan bukan hasil.

Penyumbang utama bagi Kerajaan Negeri Selangor adalah terdiri daripada Premium Geran Tanah, Cukai Tanah Semasa dan Pemberian Jalan Raya/Lorong. Hasilnya
menyumbang sejumlah RM993.98 juta (60.8%) daripada jumlah hasil tahun 2011 yang berjumlah RM1,634 juta. – Roketkini.com