Berita

Teresa Kok kesal syarat ketat polis untuk adakan ceramah

SHAH ALAM, 17 JAN: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim kesal dengan tindakan polis menangani permohonan ceramah politik anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Kinrara di Jalan Helang 13, Bandar Puchong Jaya, semalam.

Katanya, permulaannya ceramah itu akan diadakan di tempat sama pada 8 Januari lalu, tetapi polis permohonan itu dengan alasan tempoh pemberitahuan hanya lapan hari bukannya 10 hari mengikut Akta Perhimpunan Aman.

“Selepas penganjur menunda tarikh itu kepada 17 Januari dengan notis memberitahu 10 hari, polis pula mencetak 1,500 keping notis kepada penduduk sekitar tapak ceramah itu yang menggalak orang ramai membantah.

“Dua hari lalu, Ketua Polis daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias menyenaraikan 25 syarat kepada penganjur antaranya amat tidak munasabah iaitu Unit Amal PAS tidak dibenar mengawal lalu lintas kenderaan kerana mendakwa boleh membangkitkan perasaan provokasi kepada masyarakat awam yang tidak terbabit dengan perhimpunan itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh yang menganggap syarat itu tidak munasabah berkata, penganjur sudah menyatakan jangkaan kehadiran adalah seramai 500 orang dan jika lebih Ketua Polis Daerah mempunyai kuasa menyuraikan perhimpunan itu mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Selain itu, katanya, penganjur juga hendaklah memastikan hadirin tidak meminum minuman keras atau mengambil dadah ketika menghadiri ceramah itu bagi mengelak tingkah laku agresif di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Beliau berkata, syarat yang dikenakan pihak Balai Polis Serdang itu tidak menyenangkan penganjur kerana jika anggota Unit Amal PAS tidak dibenarkan pengawal trafik ia boleh menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan itu dan tidak munasabah bagi penganjur untuk menghadkan kehadiran orang ramai kurang daripada 500 orang.
.
“Saya dan pembantu dapati polis mengenakan syarat ketat terhadap penganjur ceramah itu berbanding sebelum adanya Akta Perhimpunan Aman yang selalu meluluskan permohonan program kami walaupun notis diberi hanya beberapa hari, tetapi sekarang polis menolak jika notis kurang daripada 10 hari.

“Sebelum akta itu juga polis tidak begitu serius untuk mengajak penduduk sekitar membantah, tetapi sekarang mengedar 1,500 notis mengajak orang ramai membantah sedangkan objektif Akta Perhimpunan Aman adalah untuk memudahkan penganjur mengadakan program atau perhimpunan bukannya menghalang perhimpunan dan program kami,” ujarnya.

Sehubungan itu, Teresa Kok yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara ingin tahu samada polis akan mengenakan syarat yang sama terhadap ceramah politik atau aktiviti kami dalam kempen pilihan raya umum nanti.

Katanya, sekiranya perkara sama berlaku dalam kempen pilihan raya umum nanti, ini bermakna Akta Perhimpunan Aman akan dijadikan undang-undang yang boleh disalahgunakan oleh pihak polis untuk menghalang pelbagai bentuk program, bukannya memudahkan program dan ceramah politik.

“Saya akan menulis surat kepada Ketua Polis Selangor untuk menyatakan rasa tidak puasti kami terhadap masalah itu,” katanya. – Roketkini.com