Budaya

‘M-C-M': Utopia Milik Siapa? Oleh Boon Kia Meng

DI AMBANG Pilihanraya Umum ke-13, rakyat biasa berdepan dengan sebuah realiti yang cukup mencabar: ekonomi dunia yang semakin bergelora dan di tanahair pula, kos sara hidup dan keperluan asas yang terus meruncing.

Sebuah arus sedang bergolak dalam masyarakat kita. Kini kita mempunyai antara rakyat yang paling banyak berhutang di dunia dan jurang kekayaan terbesar di Asia Tenggara. Anak muda berumur 20-an dan 30-an bakal menjadi sebuah ‘Generasi Homeless’, yang mungkin terus bertualang tanpa mampu memiliki sebuah rumah. Tidak cukup dengan itu, taraf gaji mereka pula telah dikekal rendah hingga memaksa ramai untuk mengambil hutang yang tinggi – lebih-lebih lagi jika ada yang terus kental mahukan sebuah rumah.

Filem ini membawa penonton ke dalam sebuah perjalanan untuk menyingkap bagaimana situasi ini wujud dan mengenali industri perumahan dengan menemuramah pihak-pihak utama seperti pemaju pembangunan, bank, kerajaan dan juga para pembeli. Kisah ini bermula dengan seorang protagonis yang sedang mencari sebuah rumah yang kemudiannya mula menyedari pencariannya itu membawa kepada sebuah persoalan yang lebih mendalam: “Siapakah yang memiliki Malaysia ini?”.

Diceritakan seakan sebuah meditasi, filem ini tapi juga sarat dengan analisis ekonomi untuk memberi gambaran yang jelas kepada penonton.

M-C-M: Utopia Milik Siapa ialah pemenang Freedom Film Fest 2012.