Rencana

Melawan Rasuah dan Persepsi Rasuah Oleh: Mohd Hariszuan bin Jaharudin

KETELUSAN adalah antara ciri penting pemerintah yang demokratik – dengan erti kata lain tidak mungkin wujud pemerintah yang demokratik tanpa adanya ketelusan. Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pendedahan satu video yang diterbitkan oleh Global Witness – sebuah NGO berpangkalan di London yang menyiasat dan berkempen menentang pencabulan hak asasi alam sekitar dan manusia – berkenaan penyalahgunaan lesen pembalakan oleh keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Video berdurasi 15 minit tersebut menunjukkan seorang lelaki asing menyamar sebagai ahli perniagaan yang berminat untuk melabur di Sarawak dan telah di bawa berjumpa dengan beberapa orang yang dikaitkan dengan keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Terlebih dahulu, penulis mahu lakukan penafian, bahawa tulisan ini tidak bertujuan untuk membenarkan dakwaan Global Witness dan tidak juga berminat untuk membela Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebagai rekod, sehingga artikel ini disiapkan, Taib telah menjadi perkataan yang ‘trending’ di Twitter – ertinya, ramai yang membicarakan isu ini. Tetapi, entah mengapa penulis tidak menemui satu pun berita mengenainya di media arus perdana (kecuali Astro, itupun hanya laporan penafian oleh Taib Mahmud), terutamanya, Utusan dan TV3. Tambahan pula Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam responnya mengatakan, video ini hanya bertujuan memburuk-burukan beliau dan berniat politik. Akan tetapi sukar untuk kita menafikan terdapat persepsi yang kuat bahawa terdapat gejala rasuah di Sarawak (dan sudah tentu bahagian lain Malaysia juga). Persoalannya, adakah cukup dengan penafian ini semata-mata?

Mengapa Timbulnya Persepsi Rasuah di Sarawak?

Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah tentu berhak untuk membela diri dan membuktikan bahawa video ini hanya berniat jahat. Namun, apakah usaha yang telah beliau lakukan untuk membuktikan dirinya bersih dan sesuci lampin bayi? Tuduhan rasuah ini bukan kerana semata-mata beliau Taib Mahmud, dan bukan hanya kerana beliau pemimpin Barisan Nasional, tetapi kerana urus tadbir negeri Sarawak di bawah pendbiran beliau tidak memiliki unsur ketelusan. Jangan salah faham, bukan penulis mengatakan Ketua Menteri Sarawak seorang yang tidak baik, penulis hanya katakan bahawa Taib Mahmud membenarkan masyarakat untuk menyangka beliau seorang yang korup.

Bagi memudahkan kefahaman ini, izinkan penulis bawakan satu analogi yang mudah. Jika kita dapati seorang lelaki dan perempuan berdua-dua di dalam sebuah bilik yang tertutup rapat, pintu dan tingkapnya sedangkan beliau boleh sahaja membiarkan bidai jendela dan pintu terbuka pasti akan timbul syak yang besar. Tambah aneh, apabila beliau keluar daripada bilik itu, beliau marah-marah pula kerana orang di sekeliling mula bercakap-cakap mengenai perlakukannya. Malah beliau pula tuduh orang di sekitarnya mempersoalkan budi pekerti beliau dan berniat jahat. Ya, mungkin juga beliau benar, tiada apa-apa yang berlaku antara beliau dengan gadis itu di dalam bilik tersebut. Tetapi mengapa beliau membenarkan orang di sekeliling memandang serong pada beliau?

Lalu apa kaitannya dengan kes Sarawak ini? Dalam kes Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai kuasa untuk menjadikan sistem pemerintahan di negerinya lebih telus, sebagai pemuda di dalam bilik itu mempunyai kemampuan untuk memastikan bidai jendela di buka. Namun, malangnya beliau kelihatannya tidak berminat untuk melakukannya, mengapa?

Skandal Sarawak Tidak Akan Berlaku di Pulau Pinang

Penulis sangat yakin Pulau Pinang tidak mungkin akan berdepan persepsi rasuah seteruk Sarawak. Kenyataan ini bukanlah bermakna penulis mengatakan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang lebih alim berbanding dengan Ketua Menteri Sarawak. Sebagaimana analogi yang diberikan pada bahagian awal, ini bukan soal individu, sosok tubuh orang tertentu tetapi struktur dan sistem pentadbiran yang diwakili oleh analogi bilik dengan pintu dan cermin yang tertutup itu. Soalnya, bukan siapa di dalam bilik tersebut, tetapi adakah tingkap dan pintu yang terbuka agar orang di luar dapat melibat apa yang berlaku di dalam bilik itu dan kemudiannya menghilangkan syak wasangka yang bukan-bukan? Bagi penulis terdapat dua sebab utama mengapa skandal di Sarawak tidak akan berlaku di Pulau Pinang;

Pertama, pastinya kerana Pulau Pinang tidak mempunyai balak, maka Pulau Pinang pasti tidak akan terlibat dalam skandal lesen pembalakan! Duanya – yang lebih mustahak – pentadbiran Pulau Pinang sentiasa mengamalkan ketelusan; sentiasa membiarkan pintunya terbuka agar orang ramai dapat melihat apa yang berlaku. ‘Pintu yang terbuka’ ini mempunyai dua tujuan; membina persepsi yang baik dan yang paling penting, mengurangkan kemungkinan untuk berlakuknya perbuatan penyelewengan – umpama pemuda dan gadis di dalam bilik dengan pintu yang terbuka; setinggi manapun keinginan mereka, pastinya tertahan kerana boleh diperhati daripada luar.

Demikian halnya dalam urus tadbir baik, ketelusan bukan hanya sandaran yang diletakkan pada individu tertentu dengan harapan individu tersebut akan amanah. Jika kita kembali kepada teori birokrasi klasik Max Weber, pasti kita akan fahami bahawa sesuatu jawatan bukan dibentuk khas untuk individu tertentu semata-mata. Jawatan dibuat kerana adanya keperluan dan terbuka kepada mereka berkelayakan. Maka bagi memastikan sesiapa juga yang berada di jawatan itu telus, maka struktur pentadbiran itu sendiri harus telus. Penekanannya di sini adalah sistem yang harus telus bagi memastikan seseorang penjawat awam seperti Taib Mahmud telus dan dilihat telus.

Ketelusan Bukan Sesuatu yang Abstrak

Ketelusan bukan sesuatu yang abstrak dan hanya terperangkap dalam jiwa setiap insan dan tidak boleh diterjemahkan kepada sesuatu yang konkrik. Dalam sistem pentadbiran, apabila sesuatu pentadbiran itu mengatakan mereka mengamalkan ketelusan, bererti mereka berani untuk diperiksa dan membenarkan sistem mereka diperiksa. Dalam kes Pulau Pinang, dalam meningkatkan ketelusan dan keyakinan awam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan beberapa langkah yang sebahagiannya tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di negara ini, antaranya;
1. Menguatkuasakan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan EXCO
2. Melaksanakan tender terbuka
3. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan
4. Melindungi pemberi maklumat yang tulen
5. Menggugurkan pemimpin yang hidup mewah
6. Berterus terang dalam sumbangan politik

Hasilnya, Pulau Pinang telah mencapai lebihan bajet setiap tahun dan berjaya menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada kemuflisan sejak mengambil alih Kerajaan Negeri dengan pengamalan pentadbiran yang berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) yang telah diiktiraf oleh Transparency International.

Mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang begitu serius dalam memastikan adanya ketelusan dalam sistem pentadbiran. Pastinya kerajaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menginsafi bahawa tanpa adanya ketelusan, tidak akan wujud kerajaan yang demokratik.

Mohd Hariszuan bin Jaharudin ialah Pegawai Eksekutif Penang Institute.