Isu Semasa

Arahan ROS bermotif politik memihak BN, Zahid amal ‘double-standard’

lge signKUALA LUMPUR, 31 JULAI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid mengamalkan double-standard apabila mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) walaupun sudah membetulkan kesilapan sedangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melakukan kesalahan dakwat kekal yang tidak kekal pula tidak diarah mengadakan Pilihan Raya Umum sekali lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau menganggap arahan pemilihan semua CEC DAP itu bermotif politik berdasarkan surat ringkas yang dihantar Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke Ibu Pejabat DAP yang diterima jam 4.48 petang semalam (lihat lampiran).

“Ini bermakna DAP menjadi mangsa politik serta salah guna kuasa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak dapat disangkal kerana tidak ada sebab dan alasan diberikan ROS.

“ROS sekadar menyatakan dalam suratnya bertarikh 30 Julai 2013 bahawa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP, tanpa memberi sebab dan alasan. DAP sudah memberi penjelasan serta kerjasama penuh kepada ROS. Semua dokumen sokongan turut diberi bagi membuktikan pemilihan parti Disember tahun lalu dijalankan dengan baik, sah dan demokratik di mana semua perwakilan yang layak dimaklumkan tanpa sebarang perlakuan tidak jujur dan politik wang,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, satu-satunya kesilapan adalah dalam hal penyiaran keputusan oleh ketua pegawai pemilihan yang mengumumkan jumlah undi yang salah bagi beberapa calon dan memberi kesan hanya kepada satu calon yang berjaya.

Katanya, kesilapan itu mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu, yang diumumkan sebagai calon yang berjaya sedangkan yang sepatutnya Zairil Khir Johari.

“Apabila kesilapan ini disedari, ia terus diperakui dan diperbetulkan parti secara sukarela tanpa didedahkan kepada mana-mana pihak luar. Pihak parti sekarang sedang dihukum kerana enggan menutup kesilapan dan kerana berlaku jujur dan berkata benar.

“Ini bukti Ahmad Zahid mengamalkan double-standard kerana beliau tidak menuntut SPR mengadakan pilihan raya umum sekali lagi apabila SPR tidak membuat pembetulan terhadap dakwat kekal yang tidak kekal itu, sebaliknya DAP diarah melakukan pemilihan semula sudah membetulkan kesilapan pada pemilihan itu,” tambahnya.

Ahli Parlimen Bagan itu menganggap surat begitu ringkas daripada ROS tanpa sebab atau bukti yang menyokong keputusan itu sangat tidak profesional, serta jelas merupakan salah guna kuasa yang tidak adil terhadap DAP.

Katanya, di manakah keadilan apabila sebuah pertubuhan atau individu dihukum tanpa dimaklumkan sebab dan ditunjukkan apa bukti terhadapnya dan jika begitu, semua orang yang disabitkan kesalahan hanya akan mengetahui hukuman denda atau penjara terhadapnya tanpa mengetahui sebab kenapa dia dihukum.

Menurutnya, rakyat Malaysia kini boleh membuat kesimpulan bahawa ROS membuat keputusan politik secara subjektif yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu menghakimi isu itu bagi mengkhianati DAP, tanpa peduli akan fakta dan peraturan.-Roketkini.com