Berita

Hari Pahlawan 2013: DAP tuntut kerajaan segerakan IPCMC, pulih martabat pasukan keselamatan

zairil khir johariBUKIT BENDERA. 31 JULAI: DAP sekali lagi menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) supaya dapat mengembalikan martabat pasukan keselamatan di mata umum.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, tanpa pelaksanaan penuh cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tun Dzaiddin 2005, tahap profesionalisme dan kebebasan institusi polis akan terus dipertikaikan.

Menurutnya, dalam seminggu, empat kes tembakan dilaporkan, termasuk pembunuhan Pengasas Bank Arab-Malaysian di Kuala Lumpur serta cubaan membunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, yang ditembak di Seremban dan dua lagi kes tembakan di Ipoh dan Bukit Mertajam.

“Mutakhir ini kes keganasan senjata api dan kematian dalam tahanan semakin kerap berlaku. Tahun ini saja, sudah 12 kes kematian dalam tahanan sementara empat bulan terakhir menampakkan 13 kes keganasan senjata api berlaku.

“Sempena sambutan Hari Pahlawan 2013, saya berharap kerajaan dapat memperbaharui azam dan iltizam mereka untuk mengangkat kembali martabat pasukan keselamatan di mata masyarakat dengan membentuk IPCMC. Tanpa pembentukannya, ianya sudah tentu menghampakan segala usaha untuk membersihkan persepsi awam terhadap polis.

“Keadaan sudah mencapai tahap parah sehingga mengakibatkan kehilangan kepercayaan awam yang ketara, khususnya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM). Hanya tinggal satu jalan untuk menangkis persepsi negatif itu, iaitu pelaksanaan segala cadangan yang disaran dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meningkatkan operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk penubuhan IPCMC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menyatakan sudah menjadi harapan rakyat agar martabat pasukan keselamatan negara terpelihara dengan memastikan integriti dan profesionalisme institusi itu tidak terus dinodai.

“Setiap tahun kita mengambil tarikh 31 Julai untuk memperingati perjuangan pasukan keselamatan negara kita yang sentiasa setia mempertahankan kedaulatan negara.

“Mereka yang sentiasa waspada dan siap siaga di sempadan negara dan di seluruh pelusuk kota serta desa bagi memastikan kita dapat tidur lena setiap malam tanpa sekelumit rasa terancam. Sesungguhnya, semua anak bangsa Malaysia terhutang budi dengan pahlawan negara kita.

“Sudah tentu, kita tidak mahu segala pengorbanan dan keringat kesatria disia-siakan dengan skandal penyelewengan, korupsi atau salah guna kuasa dalam organisasi terbabit,” ujarnya. -Roketkini.com