Budaya

Komuniti Buku Jalanan; aktivisme menerobos ruang awam – Oleh Hafiz Zainuddin

buku jalanan 2

REFORMASI bermula dari hati, bukan Dataran Merdeka. Sebab itu kalau ruang awam semata-mata jadi pentas ceramah ahli politik, tempat menjual cendol atau piknik kenduri kendara, masyarakat tidak mampu berubah, kerana perubahan dan pengembangan daya mental insan mampu dihidup dengan wacana berterusan kontra kepada formaliti.

Jadi, sebermula 1 Oktober 2011, kini sudah dua tahun perkumpulan yang dikenali sebagai Buku Jalanan menghidupkan petang-petang minggu di Taman Tasik Shah Alam sambil santai bersimpuh di bawah pokok tak berbumbung bersama helai-helai daun mati dan gugur ditiup angin.

Di sinilah mereka akan membaca, berkongsi pandangan, bersosial dan berencana. Roketkini.com mengambil peluang mendekati penggerak utama komuniti ini dan yang pasti, ia bukanlah perkumpulan rahsia yang membawa agenda Illuminati.

Books, Arts, Culture, Activism (B.A.C.A)

buku jalanan 4Berpegang pada konsep Books, Arts, Culture, Activism (B.A.C.A), Buku Jalanan yang beilhamkan ‘street library’ dari beberapa kolektif dari New York dan Manhattan Amerika Syarikat disambut baik hingga berjaya menjadi buah mulut ramai pihak.

Akhirnya kumpulan yang sering dilihat menggendong berbakul-bakul buku masuk ke dalam taman ini berjaya memberi inspirasi kepada kepada penubuhan 39 lagi kumpulan yang serupa dalam dan luar negara sejauh Seol, Brisbane dan Cardiff.

Objektifnya mudah, bertujuan untuk memasyarakatkan buku dan membudayakan aktivisme sambil memanfaatkan ruang awam yang tersedia bebas.

“Kepada siapa pun, kita bawa buku keluar dan beri pinjam secara percuma tanpa birokrasi. Kita mahu bawa budaya sastera, budaya baca dan budaya aktivisme ini ketengah masyarakat. Tak lagi perlu panjat perpustakaan, kita adalah sebuah komuniti non-profit dan kita boleh lakukan sendiri,” kata Ihsan Hassan, 27, penggiat aktif  Buku Jalanan Shah Alam.

Menurut Baihaqi, 23 yang lebih selesa dipanggil pustakawan Buku Jalanan, konsep amaturisme yang diketengahkan Buku Jalanan secara tidak langsung menjadikan ianya sebuah komuniti yang sentiasa terbuka untuk semua.

“Bila tak libatkan dan bukan bertujuan untuk buat duit dan semua atas kemahuan, minat, itu jadi kekuatan,” ujar beliau.

Walaupun modus operandi asas yang dibawa komuniti ini dilihat hampir sama dengan sebuah Perpustakaan Bergerak yang dilancarkan sejak tahun 1979 bertujuan “sebagai pusat pembelajaran dan ilmu pengetahuan bagi membudayakan minat membaca bersama ahli keluarga,” objektif dan imej antara dua entiti ini jauh berbeza, lebih malang lagi, nasib Perpustakaan Bergerak tidak lagi kedengaran.

Optimumkan ruang awam untuk berekspressi

Menceritakan reaksi awal orang awam terhadap aktiviti yang dijalankan, Zikri Rahman, 23, salah seorang perintis dan juga penggerak Buku Jalanan Shah Alam mengakui bahawa ramai yang berasa janggal dan terkejut.

buku jalanan 1“Kita dapat banyak reaksi berbeza. Ada yang tanya boleh atau tidak buat ni kat taman. Ada yang tak kisah. Orang Nampak kita, orang datang, mereka join sekali. Apa yang kita buat, kita reclaim public space. Bila MBSA datang, dia kata jangan buang sampah saja. Ini perkara positif.”

Katanya lagi, selain itu Buku Jalanan sedaya upaya menyediakan ruang perbincangan secara terbuka dan tidak sekadar membaca.

“Ramai membaca. Lepas membaca apa? Baca buku satu hal, jadi selepas membaca kena ada discourse. Disini, kita juga Jadi, aktiviti macam ni secara langsung dapat dedahkan kepada orang awam mengenai ruang awam. Ruang untuk mereka berekspressi,” ujar beliau.

Sejak ia aktif, komuniti ini berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat; ibu bapa, anak-anak kecil, golongan dewasa, pelajar sekolah dan universiti untuk turut serta dalam acara dwi-minggu mereka.

Menurut Azri, 23, yang juga seorang perintis dan penggerak, salah satu faktor yang menarik minat pengunjung untuk terus mengikuti setiap aktiviti Buku Jalanan ialah kepelbagaian tema dan judul buku yang disediakan.

“Pembaca dah biasa dengan buku-buku, novel ‘biasa’, tapi apa yang kita bawakan ialah bacaan-bacaan alternatif, judul-judul buku yang lebih pelbagai dan mungkin ada antaranya sukar ditemui,” katanya.

Dari segi penerimaan, Azri berkata apa yang penting adalah pendedahan mengenai buku itu kepada umum.

“Kalau orang tak tahu, macam mana dia nak baca, nak suka,” katanya lagi.

‘Anak kecil main water colour’ dan Pasar Percuma

Buku Jalanan tidak hanya menghadkan aktiviti mereka kepada membaca dan wacana semata-mata. Mereka mengoptimumkan ruang yang tersedia dengan dua lagi aktiviti bermanfaat iaitu ‘Conteng-conteng’ dan Pasar Percuma.

buku jalanan 3Sudah tentu fungsi dan peranan ‘taman awam’ kepada masyarakat sekitar terlalu sempit jika hanya dikaitkan dengan aktiviti senaman dan sekadar tempat membiarkan anak-anak bermain jongkang-jongket dan papan gelongsor.

Justeru itu, komuniti ini mengambil inisiatif kreatif membuka pentas mereka kepada golongan anak-anak. Bukan hanya untuk membaca buku A, B, C atau mengeja, tetapi  mendedahkan mereka kepada ativiti seni ‘conteng’ yang berupaya mengimbangi fungsi otak kanan dan kiri.

“Ibu bapa ramai datang, mereka tengok, baca buku bawa anak-anak. Kita fikir, lebih baik kalau sediakan ruang untuk anak-anak mereka isi masa lapang dengan melukis,” ujar Idham, 23, yang menjadi guru seni ‘Conteng-conteng’.

Menurutnya, anak-anak itu akan dibekalkan dengan cat air, pensil dan kertas sebelum beliau memberi arahan seterusnya.

“Kita dapati, setiap anak-anak mempunyai kelebihan imiginasi dan fantasi mereka. Mungkin, dengan ‘conteng-conteng’ ini, (ia boleh) timbulkan minat kepada seni lukis,” katanya yang juga perintis Buku Jalanan Shah Alam.

Pasar Percuma pula mencipta kelainan apabila barang-barang yang dipamerkan seperti baju, seluar, dan beg-beg terpakai diberikan secara percuma ataupun melalui sistem barter. Mereka yang berminat boleh mengambil begitu sahaja item yang digemari tanpa membayar sesen pun.

Menurut Hariz, 23, mesej yang ingin disampaikan melalui Pasar Percuma ini adalah mengurangkan budaya konsumerisme yang semakin berleluasa yang akhirnya merugikan.

“Biasanya orang akan beli ikut kehendak dan bukan keperluan. Pasar Percuma ni kita buat khusus pertama untuk kurangkan budaya konsumerisme, kedua adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat satu mesej yang penting.

“Contohnya bila kita kata baju ni percuma, ramai orang tanya ‘betul ke percuma?’ Sebab itu kesedaran ini penting. Ada hubungkait dengan konsep kitar semula, menghargai sesuatu dan melawan sistem kapitalisme,” jelas beliau yang menjadi pengendali dan mengetengahkan idea Pasar Percuma.

Azam berterusan, tak pernah mati…

Dunia aktivisme di Malaysia semakin berkembang menyaingi segala jenis radikalisme dan fanatisme. Sudah tentu, pelopornya adalah golongan muda yang punya aspirasi untuk merubah mentaliti jumud dan tipikal masyarakat.

Samada usaha ini besar atau kecil, keghairahan untuk bergerak dan bertindak mengolah pandangan tempang dalam banyak hal adalah usaha suci. Sepertimana pejuang Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan ramai lagi, yang berbeza hanyalah zaman. Tetapi, azam dan semangat tidak pernah mati.

Sesiapa yang ingin berhubung, menyumbang idea, menjadi sukarelawan komuniti Buku Jalanan, anda boleh terus ke laman facebook: https://www.facebook.com/bukujalanan , emel: [email protected] , dan Twitter di @bukujalanan.-Roketkini.com