Rencana

Pelajaran dari DUN Selangor untuk ADUN DAP Johor – Dyana Sofya

Minggu lalu, tujuh orang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Johor dan lapan orang wakil DAP Johor mengadakan lawatan kerja ke Selangor untuk meninjau perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Mereka juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di Pertua Dewan Hannah Yeoh dan Datuk Teng Chang Kim, Exco kanan Selangor, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan prosedur dan cadangan penambahbaikan perjalanan persidangan dewan undangan.

Lawatan kerja sehari yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Johor yang juga Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau itu telah berjaya mendedahkan perbezaan sistem dan perjalanan mesyuarat antara DUN Selangor dan DUN Johor.

Perbezaan yang dimaksudkan adalah dalam konteks keterbukaan dan keadilan dalam proses perbahasan, penghujahan yang mana proses membuat dasar dapat melibatkan semua pihak antara kerajaan dan pembangkang.

ADUN Pengaram Gan Pek Cheng mengakui persidangan DUN Selangor lebih demokratik kerana ia memberi lebih banyak ruang kepada pihak pembangkang untuk membentangkan dan membahaskan usul.

Ketua Pembangkang di Selangor kini diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan negeri Pakatan rakyat dan mendapat banyak kemudahan untuk membantu menjalankan tanggungjawabnya berbanding di Johor yang Ketua Pembangkangnya sehingga kini mendapat apa-apa pengiktirafan, apatahlagi kemudahan, yang seharusnya diperolehi selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang matang.

Selain daripada pengiktirafan terhadap Ketua Pembangkang di DUN, kerajaan Pakatan Rakyat juga telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor atau singkatannya Selcat yang berfungsi sebagai jawatankuasa yang memantau dan menjaga integriti dan kebertanggungjawaban agensi kerajaan negeri.

Langkah ini telah diambil sejak mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008 yang lalu dan ia secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat tentang prinsip-prinsip asas demokrasi dan menunjukkan bagaimana kerajaan dan masyarakat dapat bekerjasama memperkukuhkan amalan demokrasi dari peringkat akar umbi sampai ke peringkat eksekutif.

Hasil daripada lawatan itu, DAP Johor berhasrat mengemukakan beberapa cadangan untuk penambahbaikan perjalanan mesyuarat di Dewan Undangan Negeri Johor demi memastikan proses membuat dasar selari dengan semangat demokrasi tulen dan matang, termasuk mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan seperti Selcat. – Roketkini