Rencana

Gobok Lama – Jangan Hina Kaum Ibu

Kawan masih ingat pesan emak. Cari isteri esok-esok, carilah yang sederhana tetapi serba boleh. Kini barulah kawan faham maksud tersirat mak. Zaman sekarang kalau nak hidup selesa, tak dapat suami satu orang saja cari nafkah, kena sama-sama dengan orang rumah juga.

Berkeluarga dan hidup sedang-sedang macam kawan ni, nak harap gaji suami seorang memang tak cukup. Dapat gaji nak bayar sewa rumah, kalau rumah sendiri nak bayar ansuran bulanan, nak bayar ansuran kereta, kos selenggara kereta, petrol, tol, hutang pinjaman belajar, duit dapur rumah, utiliti rumah, ansuran insuran kesihatan atau pendidikan anak-anak. Pendek kata, jenuh la kalau suami saja bekerja.

Tapi syukurlah, isteri-isteri zaman sekarang suka membantu suami dan keluarganya. Jadi belanja rumah dan sebagainya dapatlah dikongsi-kongsi. Tapi, bak kata pepatah, besar periuk, besar juga keraknya.

Kalau nak hantar anak-anak ke pusat jagaan swasta, kosnya pun bukan sedikit malah kadangkala pusat jagaan jauh dari rumah atau pejabat. Jadi, pusing punya pusing ke situ juga habisnya pendapatan. Harapnya benda-benda sebegini dapatlah kerajaan fikir-fikirkan, bagaimana nak bantu ibu bapa dan keluarga.

Kerajaan bukan dapat bantu soal kos saja, tapi bila pusat jagaan anak-anak dah dekat dengan ibu-bapa seperti di tempat kerja, itu lebih selamat dan menyenangkan semua pihak. Waktu rehat, pasti kaum ibu ada kesempatan nak jengah atau susukan anak-anak kecil mereka. Alangkah indahnya jika impian ini terlaksana. Kerja kita pun jadi lebih produktif lagi.

Bila dikenang, kata-kata Tee Siew Kiong, EXCO Johor dari MCA tu, bukan setakat menghina kaum ibu, tetapi juga hina kaum bapa seperti kawan. Kenapalah dia masih beranggapan kaum wanita atau ibu hanya layak jaga anak di rumah. Ini pemikiran lapok.

Kawan nak pesan sangat pada Siew Kiong, tak kiralah dia kaya atau banyak harta yang boleh beli apa saja termasuk pengasuh yang mahal-mahal, tapi jangan sesekali hina kaum ibu dan anggap mereka hanya layak menjadi pengasuh anak-anak saja. Tanpa seorang ibu, Tee Siew Kiong pun takkan lahir ke dunia. – Roketkini.com