Rencana

Inteligensia Mendepani Perubahan Zaman – Haris Zuan

Pada tahun 1988, sebuah filem bertajuk Rain Man, lakonan Dustin Hoffman dan Tom Cruise, menjadi filem paling berjaya tahun tersebut dengan kutipan tiket melebihi USD172 juta dan membolehkan penulis skip filem ini, Barry Morrow, menerima anugerah Academy Awards pada tahun yang sama untuk skrip filem terbaik.

Barry Morrow mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini daripada Kim Peek, seorang pemuda kurang upaya yang lahir dengan FG syndrome yang Barry Morrow temui pada tahun 1984. Kim Peek tidak mampu untuk menguruskan diri termasuk memakai butang baju dan menyikat rambut – segala-galanya dengan bantuan bapanya. Namun beliau dianugerahkan Tuhan dengan keupayaan luar biasa, beliau mampu membaca sebuah buku dalam hanya satu jam dan menghafal hampir semuanya, baris demi baris. Beliau dikatakan membaca dan menghafal setiap helaian hampir 12,000 buah buku yang beliau baca – dari bidang musik, sejarah, sastera, geografi, sukan, politik dan lain-lain. Tanyalah apa soalan, beliau mampu menjawabnya.

Adakah ini menjadikan beliau seorang inteligensia atau intelektual?

Pastinya tidak! Kim Peek malah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah mudah peringkat kanak-kanak sekolah rendah. Mengapa seseorang yang mampu membaca dan menghafal – kulit ke kulit – setiap buku yang dibaca dalam hayatnya gagal untuk menyelesaikan masalah bagaimana untuk membersihkan kasutnya sendiri.

Kim Peek hanya mampu untuk menghafal tanpa berdaya untuk menghubungkan setiap fakta-fakta tersebut. Ini adalah syarat asas untuk berfikir – sekali lagi, berfikir, bukan menghafal. Fakta, angka, tarikh dan peristiwa yang dihafal, hanya sekadar trivia dan bukannya ilmu jika gagal dihubungkan dan menggunakan penaakulan (reasoning).

Malangnya, selama ini, sama ada kita sedari mahu pun tidak, sistem pendidikan Malaysia ini hanya berminat dan taksub untuk melahirkan Kim Peek – seorang OKU yang hanya mampu menghafal tanpa memahami apa yang dihafalnya dan itu pun hanya sekadar nota-nota perperiksaan. Jika Barry Morrow datang ke Malaysia, entah berapa buah sequel filem ‘Rain Man’ akan terhasil.

Malah, universiti juga nampaknya tidak minat untuk menghasilkan pemikir tetapi sekadar melahirkan kerani dengan kepandaian membaca manual, mengisi borang dan mengaturkan tarikh mesyuarat. Syarat untuk menjadi inteligensia juga harus mampu untuk menghubungkan antara disiplin ilmu. Sains politik dengan ekonomi, filem dan sosiologi, matematik dengan ketamadunan, fizik dengan teologi, dan sebagainya.

Mungkin ini permintaan yang terlalu kejam untuk anak mahasiswa kita kerana untuk menghubungkan apa yang mereka pelajari pada semester lepas dengan semester berikutnya pun merupakan suatu kesusahan yang maha besar buat mereka. Saya punya sedikit pengalaman di universiti apabila seorang pelajar itu diajukan soalan yang menuntutnya untuk memberikan pandangan, sering kali jawapan yang diberikan; ini subjek semester lepas atau subjek ini belum diajarkan lagi.

Pengkotakan ilmu (compartmentalization of knowledge) yang berlaku di universiti kini bukan sahaja gagal untuk melahirkan intelektual, malahan untuk melahirkan seorang warga (citizen) yang mampu untuk meletakkan dirinya dalam masyarakat juga tidak akan mungkin yang akhirnya hanya menciptakan keterasingan antara universiti bersama segala isinya dengan masyarakat.

Rendra mengungkapkan tragedi ini dengan baik dalam puisinya, Sajak Anak Muda (1977);

Seseorang berhak diberi ijasah dokter,
dianggap sebagai orang terpelajar,
tanpa diuji pengetahuannya akan keadilan.
Dan bila ada tirani merajalela,
ia diam tidak bicara,
kerjanya cuma menyuntik saja.

Sebagaimana Kim Peek, kebanyakan mahasiswa kita yang kononnya menekuni Usman Awang, Shahnon Ahmad, dan Abdullah Hussien hanya diajar untuk menghafal fakta-faktanya sahaja dan gagal mencerakin dan menyaring setiap fakta, menghubungkannya dengan realiti kini dan kemudiannya mengajukan penyelesaian – selayaknya peranan seorang intelektual.

Sedangkan sebagaimana yang dibuktikan melalui buku Dr Azhar Ibrahim ini, jika kita menekuni kesusateraan kita, kita akan dapati banyak pengajaran yang berguna untuk memahami polemik masa kini. Umpamanya, persoalan fungsi masjid yang tidak pernah selesai ini rupanya telah lama dibincang dan dihuraikan oleh Abdullah Hussien dalam Imam yang pada pandangan peribadi saya adalah novel terbaik beliau. Demikian juga dalam soal peranan wanita dalam masyarakat, yang telah lama dibincangkan dalam Hikayat Faridah Hanom, karya Syed Syeikh al-Hadi. Malangnya, Komponen Sastera (KOMSAS) di sekolah kini tidak lagi minat untuk memperkenalkan karya-karya besar cendekiawan Melayu ini.

Jauh lebih malang daripada itu, nampaknya kebanyakan kita kini seolah-olah terputus hubungannya dengan sejarah besar kebudayaan dan keilmuan Melayu ini. Yang tinggal hanyalah ingatan-ingatan yang dirosakkan berhubung sejarah Melayu yang melarat, lemah, daif dan hanya mampu memiliki rumah flat kos rendah setelah adanya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Malah, aspek pemikiran telah dibuang jauh-jauh dan digantikan dengan sejarah elit politik (satu pihak) merebut kekuasaan.

Suara inteligensia dan intelektual Melayu ini cuba dimatikan seboleh mungkin.

Kesannya, selepas lebih 40 tahun proses pembodohan ini, orang Melayu Malaysia ini disuruh percaya bahawa diri mereka tidak mampu untuk menyusun, menyaring dan menyerap ilmu pengetahuan. Hingga akhirnya, keinginan untuk terjebak dalam kerumitan wacana yang seringkali menimbulkan persoalan berbanding jawapan ini ikut mati. Kini, segala persoalan harus punya jawapan yang tuntas dan ringkas.

Kerja-kerja berfikir dan membuat keputusan telah di ‘sub-con’ kepada Majlis Fatwa, JAKIM dan Ustaz Azhar Idrus. Malah, soalan-soalan yang diajukan hanyalah masalah remeh dan titik-bengik – apa hukumnya naik motosikal berdua, hukum menyebut RIP, hukum memakai topi Santa Claus.

Maka, usaha pertama menuju pencerahan, pastinya adalah untuk menginsafi bahawa masyarakat kita kini berada dalam tragedi pemikiran yang maha dahsyat. Semoga kesedaran menjadi harapan pertama untuk perubahan. – Roketkini

*Teks ini merupakan sebahagian daripada nota sebagai ahli panel dalam Forum Inteligensia Mendepani Perubahan Zaman sempena perasmian buku Cendekiawan Melayu Menyuluh Emansipasi tulisan Dr Azhar Ibrahim di KLSCH, pada 19 April 2014, anjuran SIRD.

**Tulisan ini memuatkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Roketkini dan DAP.