Rencana

Bahawa ISMA tak akan menang – Al-Mustaqeem M Radhi

Bahawa ISMA telah menyebarkan kebencian, menuduh kelompok yang selain mereka sesat, ingin menghak-milikkan Malaysia hanya untuk Melayu-Muslim tanpa mempedulikan kaum lain dan juga Melayu-Muslim yang tidak sependapat dengan mereka, adalah perkara yang nyata.

Usaha membantah ISMA wajib terus dijalankan, namun kita tak perlu bimbang keterlaluan bahawa suatu hari nanti ISMA akan menang.

ISMA tak akan pernah menang, kerana ketika mereka menyebarkan perseteruan dan kebencian, ada sekian banyak pemuda-pemudi yang diam-diam telah bersumpah untuk menyeru manusia kepada Tuhan dengan pesan keamanan, persaudaraan kemanusiaan, serta semangat ihsan yang melimpah-ruah.

ISMA tak akan menang, kerana ketika mereka mengungkit-ungkit tentang Tuhan yang pemurka, ada sekian banyak pemuda-pemudi lebih percaya bahawa belas-kasihNya mengatasi dan meliputi segala.

ISMA tak akan pernah menang kerana pemuda-pemudi yang akan menentang mereka itu adalah darah muda dan jiwa bening yang sedang menjamah setiap patah huruf dalam gedung keilmuan seperti al-Azhar, Oxford, dan Exeter, selain di Jordan, Yaman, Turki, Indonesia dan, sudah tentu, di pelbagai ‘universiti Islam’ di Malaysia juga.

Para Islamis anti-demokrasi dan anti-kemanusiaan seperti ISMA sekitar dua puluh tahun lalu cuma berdepan dengan kelompok seperti Sisters in Islam (SIS) yang meski pun rajin mengkaji Quran, Hadis, dan serba-sedikit kitab, tidaklah mempunyai kemahiran dan wibawa seperti pemuda-pemudi penentang ISMA sekarang yang sebelum memanjat menara gading lagi telah menghafaz Quran dan Hadis, selain mengunyah sekian banyak lembaran kitab kuning di ‘sekolah Arab’ dan pondok.

ISMA tak akan menang kerana pemuda-pemudi ini, selain menghadam kitab Arab dan Urdu dari Timur, juga sedang melayari laut pustaka Barat – bukan dengan bara perseteruan, tetapi dengan dahaga ilmu tidak terpuaskan, dibakar semangat “li ta’rafu.”

ISMA takkan menang, justeru pemuda-pemudi ini, dengan kecintaan mereka yang nian mendalam terhadap Islam, dengan keyakinan bulat akan keagungan Tuhan, telah menyalakan lilin untuk menerangi kemanusiaan, membaja cinta, menebar bakti, memupuk akal-budi – dalam ungkapan lain, menanggapi hal-hal keduniaan menurut prinsip-prinsip keagamaan yang utama dan sejagat, manakala hal syurga-neraka diserahkan kepada Dia sebagai penentu mutlak.

Dengan sikap yang angkuh seakan-akan telah mengerti sepenuhnya tentang Dia, ISMA tak akan pernah mampu menakluk pemuda-pemudi ini yang dengan rendah hati akur bahawa Tuhan tidak mungkin terperikan walau dengan tinta tujuh lautan.

Ya, memang ada juga kader ISMA di pusat-pusat pengajian agama. Namun ada beza antara golongan yang menyelak kitab untuk mengutuk orang ke dalam neraka serta menafikan hak kelompok selain mereka di dunia, dengan golongan yang menekuni kalam Tuhan guna mengembangkan jalan keampunan buat semua.

Ketika ISMA ingin membunuh demokrasi, pemuda-pemudi ini telah bertekad untuk mempertahankannya kerana mereka percaya bahawa hanya di tengah ramai suara, hak-hak manusia akan terpelihara; dan bahawa di tengah belukar adu-kata, bunga iman yang indah pasti menguntum.

Tidak, ISMA jangan mengalah; teruskan dengan kedegilan dan perjuangan kalian, kerana ia pasti akan membuatkan pemuda-pemudi ini lebih cerdas, lebih matang dan lebih nekad.