Berita

Brunei pun tangguh pelaksanaan hudud

KUALA LUMPUR, 25 APR: PAS Kelantan perlu melihat negara-negara majoriti Muslim di seluruh dunia sebelum mempertimbangkan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu, kata Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching.

Beliau berkata, Brunei yang sebelum ini ingin melaksanakan undang-undang itu yang sepatutnya bermula semalam pun telah menangguhkan pelaksanaannya.

“Pada Oktober lalu, Brunei mengumumkan undang-undang syariah baru akan diperkenalkan. Namun, negara dengan dua per-tiga rakyatnya beragama Islam itu telah menangguhkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Brunei Times, Penolong Pengarah Unit Perundangan Islam Brunei Jauyah Zaini berkata, pelaksanaan undang-undang itu ditangguhkan atas ‘sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan’. Tiada tarikh pasti yang diumumkan berhubung pelaksanaan itu.

Beliau juga memberi contoh Tunisia yang menjamin pemisahan undang-undang dan agama serta melindungi kebebasan rakyatnya dalam draf perlembagaan negara itu awal tahun ini.

“Malah, Parlimen Tunisia juga mengesahkan beberapa artikel dalam draf Perlembagaannya yang mengambil prinsip ‘negara sivil’ tanpa menjadikan Islam sebagai sumber perundangan, serta jaminan bukan sahaja kepada kebebasan beragama dan mengamalkan agama, malah kebebasan nurani,” katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, sudah tiba masanya PAS Kelantan mengambil contoh negara-negara ini dan memahami pelaksanaan hudud tidak selari dengan Perlembagaan serta kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.

Isu hudud timbul semula selepas PAS bercadang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian berkenaannya di Parlimen Jun ini.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan DAP dan PKR tidak berhak menghalang pelaksanaannya di negeri itu, ekoran PAS hanya bersetuju mengenepikan agenda itu di peringkat persekutuan.

Menyifatkan alasan itu sebagai lemah, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu mengingatkan PAS bahawa ia memperoleh sokongan besar melalui kerjasama dalam Pakatan.

“Benar hudud diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Namun, kini sudah tahun 2014 dan PAS bersama-sama DAP dan PKR telah menubuhkan Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya umum lalu, undi kepada PAS bermakna undi kepada DAP dan PKR, begitu juga sebaliknya.

“Sudah tiba masanya untuk PAS Kelantan memandang ke hadapan,” katanya lagi. – Roketkini.com