Berita

Kerajaan perlu desak ICAO tingkat peranan, elak tragedi MH17 berulang

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kerajaan perlu mendesak Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) agar meningkatkan peranannya dengan mengeluarkan amaran penerbangan di kawasan bergolak bagi memastikan tragedi seperti menimpa MH17 tidak berulang.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim menegaskan, Malaysia sebagai ahli ICAO seharusnya dimaklumkan tentang keadaan sesuatu ruang udara sama ada ia selamat atau tidak dan diberikan amaran jika situasi berbahaya.

“Walaupun laluan diambil MH17 merentasi udara Ukraine adalah tepat, tetapi selepas kejadian (MH17)i, syarikat penerbangan tempatan harus lebih berhati-hati dan menghindari ruang udara negara kawasan peperangan.

“Memandangkan Malaysia ialah ahli, maka ICAO sepatutnya mengeluarkan amaran penerbangan kepada semua anggotanya,” katanya dalam perbahasan usul Mesyuarat Khas Parlimen, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Seputeh itu, antara laluan yang perlu dielakkan selepas buat masa sekarang termasuk ruang udara Iraq dan Afghanistan kerana ISIL dan Taliban turut mempunyai peluru berpandu.

“Untuk menghindari ruang udara kedua-dua negara ini memerlukan perbelanjaan yang lebih, tetapi keselamatan pesawat dan penumpang lebih penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat dan ahli parlimen Barisan Nasional yang bekerjasama menyuarakan ketegasan kepada pihak yang terlibat dalam serangan terhadap MH17.

“Semua pihak harus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah, kerana perpaduan merupakan keutamaan ketika negara menghadapi cabaran,” kata Teresa. -Roketkini.com