Berita

Aidil Fitri bawa semangat muhibbah, tolak jarum perkauman

KLUANG 28 JUL: Sempena sambutan Hari Raya Aidul Fitri tahun ini, rakyat Malaysia diseru membulatkan tekad untk menolak politik sempit perkauman, kezaliman yang berleluasa, rasuah dan penyelewengan.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, Hari Raya Aidil Fitri yang disambut oleh bukan sahaja umat Islam tetapi juga oleh segenap lapisan di negara ini wajar menjadi institusi membentuk semangat muhibbah, bertoleransi dan menolak jarum perkauman.

“Perubahan yang kita perlukan ini hanya dapat dicapai jika kita sebulat suara bersatu hati untuk menolak politik perkauman serta amalan remeh yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat,” kata Chin Tong dalam perutusan Hari Raya Aidil Fitri hari ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, rakyat negara ini sendiri telah merasai kesan langsung akibat kenaikan harga barang, kos pengangkutan dan pelbagai jenis perkhidmatan semakin menyusahkan kehidupan rakyat jelata dan menancam pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Yang terbaru, kenaikan mendadak kadar tol CIQ sekali lagi menunjukkan bahawa kerajaan yang ada tidak mempedulikan masalah rakyat.

“Saya amat berharap warga Johor bersama-sama dengan rakyat Malaysia keseluruhannya sedar bahawa kita memerlukan kerajaan yang mewakili kepentingan rakyat, bukannya kroni,” ujarnya.

Sementara meraikan kemeriahan Syawal dalam kesederhanaan, Ching Tong berkata sambutan hari raya tahun ini merupakan detik yang paling mencabar untuk negara berikutan tragedi menimpa Penerbangan Malaysia MH17 dan MH370.

“Ia menjadi kenangan pilu buat kita semua. Saya amat berharap kita sebagai rakyat Malaysia, termasuk warga Johor, dapat bersatu hati untuk membuang yang keruh dan mengambil yang jernih dalam memastikan perpaduan kita tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Menurut Chin Tong lagi, ketika rakyat Malaysia menyambut 1 Syawal dalam suasana yang aman, penduduk Palestin  diganasi rejim Zionis-Israel di Gaza, menjadikan Aidifltri kali ini sesuatu yang memilukan semua umat manusia, khususnya orang Islam yang mencintai keamanan.

“Saya amat berharap kerajaan kita dapat melakukan sesuatu yang lebih tegas lagi untuk membantu dunia menyelesaikan keganasan di Palestin, terutamanya menyelamatkan nyawa orang awam di kawasan konflik tersebut,” kata Chin Tong. – Roketkini.com