Berita

Bukan sekadar acara suka-ria, Pesta Kluang pupuk aktivis akar-umbi

KLUANG, 18 OGOS: Penduduk di parlimen Kluang bakal menikmati suasana meriah kegiatan seni-budaya pembinaan masyarakat dan pengupayaan aktivis akar-umbi secara kreatif melibatkan pelbagai lapisan dalam program ‘Pesta Kluang’.

Acara yang dijadualkan pada 13 hingga 20 September 2014 itu menampilkan pelbagai slot acara warna-warni yang dijangka mampu menggembeling seluruh masyarakat majmuk di daerah ini ke arah memupuk semangat kebersamaan dan kejiranan.

Penyelaras ‘Pesta Kluang’ Pow Chiau Yee berkata, tujuan utama Pesta Kluang adalah untuk memperkasakan hubungan antara penduduk Kluang dengan tempat tinggal mereka.

“Ia tidak sekadar menjadi satu karnival yang meriah semata-mata, tetapi berfungsi sebagai medium pembinaan semula wajah baru Kluang yang lebih segar.

“Sebagai tuan rumah, kami berharap penduduk Kluang dapat meraikan tetamu yang berkunjung ke pesta ini,” kata Pow dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol Tan Hong Pin serta penyelaras Pusat Komuniti Kluang Sheikh Omar Ali.

Menurut Pow, pelbagai kegiatan akan diadakan sepanjang pesta tersebut termasuklah kelas ‘Alam Semulajadi Gunung Lambak’, gotong-royong bandar Kluang, bengkel model 3D, jelajah berbasikal merentas desa dan sebagainya.

Dana kreatif RM10,000

Malah, Pow turut mengumumkan berita baik apabila ‘Pesta Kluang’ menyediakan dana berjumlah RM 10,000 terutamanya kepada anak muda dan kelompok kreatif di daerah ini untuk memulakan projek kreatif dan akar umbi di Kluang.

“Satu dana kreatif berjumlah RM10,000 juga akan diwujudkan untuk membantu sesiapa yang memerlukan,” kata Pow.

Pada sidang media sama ADUN Mengkibol Tan Hong Pin berkata, ‘Pesta Kluang’ merupakan sebahagian daripada usaha pembinaan dan pengupayaan komuniti tempatan.

“Penyertaan penduduk tempatan dalam ‘Pesta Kluang’ akan mempercepatkan proses pembinaan masyarakat yang kukuh dengan minda yang lebih segar dan positif dalam bermasyarakat. Diharapkan kegiatan yang bakal dijalankan akan menjadi langkah pertama untuk menjayakan misi ini.”

Ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong selaku penaung program berkata, beliau berharap ‘Pesta Kluang’ dapat menjadi satu program yang mampu menggembeling seluruh masyarakat majmuk di Kluang untuk memupuk semangat kebersamaan.

“Pesta Kluang menyasarkan penyertaan seluruh penduduk Kluang tanpa mengira kaum dan latar belakang bagi membina satu imej yang tersendiri menerusi pendekatan ‘Do It Yourself’ (DIY). Ia adalah unsur terpenting dalam pesta tersebut,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Omar Ali menjelaskan bahawa Pesta Kluang berbeza dengan lain-lain acara berkonsepkan bazaar, kerana pengunjung program turut dilibatkan sebagai peserta, bertujuan mengangkat tema-tema tempatan yang menyentuh sejarah dan identiti bandar kecil ini.

“Pesta Kluang menyasarkan penyertaan seluruh penduduk Kluang tanpa mengira kaum dan latar belakang bagi membina satu imej yang tersendiri menerusi pendekatan ‘Do It Yourself’ (DIY). Ia adalah unsur terpenting dalam pesta tersebut.

“Pihak urusetia program akan memastikan ‘Pesta Kluang’ menjadi model kegiatan kemasyarakatan yang mampu memupuk semangat rakyat Malaysia yang harmoni dan rukun.

“Bagi kami, kepelbagaian yang terdapat antara anggota masyarakat merupakan suatu kelebihan untuk kita saling memahami seterusnya saling menghormati antara satu sama lain.

“Oleh itu, kami akan pastikan setiap aktiviti yang dirancang mampu menjayakan matlamat ini” ujar beliau.

Untuk maklumat lanjut terhadap Pesta Kluang, sila layari laman Facebook https://www.facebook.com/kluang2.0komuniti, talian telefon 07-7779758, 014-317 4833, atau 016-718 1758, emel:[email protected] ataupun melawat Pusat Komuniti Kluang. – Roketkini.com