Berita

Hari Perkabungan Negara: Pulau Pinang ikut bertafakur, kibar bendera separuh tiang

GEORGE TOWN, 20 OGOS: Bendera Pulau Pinang akan dikibarkan separuh tiang bersama Jalur Gemilang 22 Ogos ini sebagai tanda penghormatan dan simpati kepada mangsa pesawat MH17.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri juga akan bertafakur secara serentak dengan Kerajaan Persekutuan menerusi siaran langsung istiadat upacara ketibaan jenazah yang akan dipaparkan di skrin besar di hadapan Komtar pada hari tersebut.

“Kerajaan Negeri menasihatkan agar mana-mana pihak yang akan menganjurkan majlis-majlis di negeri ini untuk turut bertafakur atau memberi penghormatan selama seminit kepada mangsa pesawat MH17 sebelum memulakan majlis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng menyatakan Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan kenalan penumpang-penumpang serta anak-anak kapal MH17.

“Adalah diharapkan semoga mereka semua dikurniakan kekuatan untuk terus cekal dan tabah dalam menempuh dugaan yang amat berat lagi mencabar ini.

“Kami berkongsi rasa pilu yang menyelubungi mereka dan berharap agar suatu kepastian diperolehi bagi mengakhiri segala tanda tanya berhubung kehilangan pesawat MH370.

“Kami tidak pernah putus mengirimkan doa agar usaha menjejaki pesawat MH370 membuahkan hasil,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut sekali lagi mengecam keras tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut pihak yang menembak pesawat komersial MH17 sehingga menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk tiga orang bayi, menjadi mangsa kerakusan nafsu kezaliman akibat kemelut perebutan kuasa.

“Pihak yang bertanggungjawab ke atas jenazah zalim mesti dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman yang setimpal,” tegasnya. -Roketkini.com