Berita

“Rakyat nak tahu, kabinet Najib masih waras atau tidak” – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Rakyat Malaysia ingin mengetahui sama ada barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih waras untuk mentadbir negara ini, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Kit Siang, mesyuarat kabinet menteri esok sangat penting, lebih-lebih lagi merupakan pertemuan pertama selepas sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-57 dan rakyat wajar berasa bimbang tentang hala tuju dan masa depan Malaysia.

Beliau merujuk ucapan tiga pemimpin Umno iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sepanjang minggu lalu yang dengan dasar 1Malaysia yang diajukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohamad Hassan dilaporkan berkata dalam mesyuarat Umno bahagian Rembau dengan rekayasa pembohongan bahawa kononnya ‘tiga hari selepas pembangkang (Pakatan Rakyat) membentuk Kerajaan Persekutuan, agenda utama mesyuarat kabinet pertama adalah penyatuan semula Singapura dengan Malaysia.

Menurut Kit Siang, ucapan Mohamad Hassan ditambah dakwaan tidak masuk akal sama sekali bahawa kononnya penambahan 89 kerusi parlimen bukan Melayu aka dibuat tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.

Manakala kenyataan Ismail Sabri dalam ucapannya dalam mesyuarat Umno bahagian Gopeng bahawa orang Melayu di negara ini ‘sedang diserang’ dengan pemisahan ‘Melayu Umno’, ‘Melayu PAS ‘, ‘Melayu PKR’ dan ‘Melayu DAP’ justeu penting bahawa orang Melayu perlu bersatu semula seperti ketika negara hendak mencapai kemerdekaan.

“Mengejutkan dan sukar dipercayai apabila Ismail mengucapkan kata-kata sedemikian yang bercanggah dengan dasar 1Malaysia Najib Razak untuk membina Malaysia di mana setiap rakyat perlu mengakui bahawa dirinya pertama sebagai rakyat Malaysia manakala bangsa, agama, wilayah dan status sosio-ekonomi kedua,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Manakala Zahid Hamidi dua hari selepas mesej merdeka Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab ketila berucap di mesyuarat Umno bahagian Segambut apabila berkata bahawa ‘orang Melayu perlu membayar harga kerana berlaku baik kepada bukan Melayu’.

“Tidakkah Perdana Menteri memberi taklimat kepada barisan menteri tentang tema dan makna mesej merdekanya, supaya mereka tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dan meminggirkan Najib dengan perkara yang bertentangan? soal Kit Siang.

“Ketiga-tiga ucapan di mesyuarat Umno bahagian oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dan dua Menteri Kabinet adalah menghasut, dan adakah Peguam Negara akan mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan?

“Bukan  sekadar ucapan oleh Menteri-menteri Umno, Menteri Besar dan pemimpin-pemimpinnya yang kontroversi, tindakan kerajaan baru-baru ini juga menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Barisan Nasional Malaysia masih waras atau tidak,” kata Kit Siang merujuk penahanan 157 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sejurus selepas perarakan Hari Merdeka.

Terbaru kata Kit Siang dakwaan dibawah Akta Hasutan terhadap profesor undang-undang Universiti Malaya, Profesor Azmi Sharom bercanggah dengan kenyataan Najib pada hari yang sama – bahawa ?ilmuan adalah tunggak penting kepada negara.

“Siapa yang akan percaya bahawa Najib benar-benar menganggap ahlli akademik dan intelektual sebagai tunggak penting negara apabila Peguam Negara mengheret ahli akademik ke mahkamah di bawah Akta Hasutan, yang tidak pernah dilakukan pun oleh lima Perdana Menteri, termasuk ketika 22 tahun zaman gelap Tun Mahathir? soal Kit Siang.

Secara sinis Kit Siang menegaskan mesyuarat menteri kabinet esok adalah sangat penting, kerana rakyat Malaysia ingin menentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak masih waras untuk memimpin negara ini. – Roketkini.com