Rencana

Kerajaan berteraskan Rakyat, bukan sahaja berasaskan kuasa dan kepentingan

Perutusan Hari Malaysia 2014 oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 15 September 2014.

Kerajaan berteraskan Rakyat, bukan sahaja berasaskan kuasa dan kepentingan tetapi juga moral (benar dan salah) serta nilai (keadilan dan kebebasan).

Berikutan tindakan ‘flip-flop’ mengejutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengkhianati janji yang dibuat tiga kali untuk memansuhkan Akta Hasutan, disusuli tindakan Peguam Negara menggunakan Akta Hasutan untuk membuat pendakwaan terpilih terhadap bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat tetapi juga pensyarah undang-undang, ramai orang di Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi percaya kepada janji-janji pilihanraya 2013 Barisan Nasional. BN telah berjanji untuk memperbaiki pembangunan infrastruktur supaya sama taraf dengan Semenanjung Malaysia, menjamin keselamatan orang awam, membasmi kemiskinan, mewujudkan program kesihatan serta memansuhkan dasar kabotaj supaya seluruh rakyat Malaysia dapat membeli barangan pada harga yang sama.

Tidak ada sesiapa yang mendengar janji-janji ini lagi sekarang. Ini menjadikan tuntutan pemimpin BN di kedua-dua Sabah dan Sarawak mendesak kenaikan royalti minyak daripada 5% kepada 20% suatu propaganda kosong untuk mengalihkan perhatian daripada kerugian yang dialami oleh rakyat kedua-dua negeri dari nikmat sumber alam mereka sendiri.

DAP percaya bahawa masa depan Sabah dan Sarawak adalah bersama Malaysia. DAP percaya bahawa seperti juga usia 307 tahun Scotland bersama United Kingdom, Sabah dan Sarawak akan mendapat lebih banyak faedah lantaran persekutuan mereka membentuk Malaysia. Atas sebab ini, Sabah dan Sarawak mesti dilayan sebagai rakan kongsi saksama dengan Semenanjung Malaysia. Dasar-dasar baru justeru perlu dibentuk demi memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, menggantikan dasar-dasar lama yang memihak kepada kroni BN dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sudah tidak boleh diterima lagi bahawa rakyat termiskin tinggal di Sabah dan Sarawak, tanpa kemudahan asas bekalan air dan elektrik, serta gejala rasuah dan salahguna kuasa. Sudah tidak boleh diterima lagi bahawa rakyat Sabah dan Sarawak membayar lebih untuk barangan yang sama dijual di Semenanjung. Juga tidak boleh diterima lagi sebarang kekurangan sekolah, guru dan ketiadaan sambungan internet. Sumber asli seperti tanah, balak, serta kemudahan komunikasi dan pelabuhan tidak sepatutnya dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu tetapi mesti dilaksanakan secara tender terbuka kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Semua ini boleh ditangani dalam masa lima tahun, satu penggal pentadbiran, sekiranya kita gunakan kekayaan Sabah dan Sarawak untuk pemilik sebenarnya iaitu lebih 6 juta rakyat biasa. Sabah dan Sarawak boleh bebas daripada rasuah, tiada lagi rakyat miskin, mereka boleh menikmati mutu kehidupan yang sama dengan saudara di Semenanjung Malaysia, dan lebih penting lagi, mereka boleh hidup dengan bermaruah.

Ini memerlukan suatu anjakan daripada model pentadbiran semasa oleh BN yang menumpukan kepada pelaksanaan kuasa dan kepentingan. Mesti ada kerajaan baru yang berteraskan rakyat, bukan sahaja berasaskan kuasa dan kepentingan tetapi juga moral (benar dan salah) serta nilai (keadilan dan kebebasan).

Menumpukan kepada kuasa dan kepentingan tidak menghasilkan sebarang perubahan kepada kehidupan rakyat biasa. Dengan menumpukan kepada nilai moral sejagat yang bukan sahaja menyatukan kita tetapi turut memberikan kehidupan yang bermarah, kita mampu merintis jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan penuh harapan. Marilah kita menjadikan sambutan Hari Malaysia ke-51 ini penuh bermakna dengan memberikan komitmen untuk bukan sahaja melakukan sesuatu dengan betul, tetapi juga melakukan yang betul.

Lim Guan Eng