Berita

Hari Malaysia, titik mula realisasi Impian Malaysia – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Hari Malaysia sepatutnya menjadi detik penegasan semula Impian Malaysia sebagai visi menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Masa depan Malaysia sebagai sebuah negara akan terjamin sekiranya majoriti rakyat menggalakkan Impian Malaysia merentasi ‘impian Melayu’, ‘impian Cina’, ‘impian India’, ‘impian Kadazan’ atau ‘impian Iban’, katanya dalam satu kenyataan.

Namun katanya, Impian Malaysia kini dicemari beberapa peristiwa yang tidak sepatutnya akibat urustadbir tidak bertanggungjawab pemerintah.

“Pendakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat, aktivis sosial termasuk ahli akademik, wartawan dan pengamal undang-undang untuk mencipta iklim ketakutan merupakan tanda akhir pemerintahan tidak menyakinkan, selepas 22 tahun pemerintahan kuku besi Dr Mahathir.

“Retorik dan politik perkauman yang membarah bukan saja tersasar dan lari dari dasar 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi juga memperlihatkan hasutan perkauman serta agama paling buruk dalam sejarah negara,” ujarnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut kesal dengan kegagalan kerajaan mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang tanpa izin walaupun telah dikemukakan selama lebih daripada empat bulan.

“Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia, telah diumumkan dalam tempoh hanya tujuh bulan selepas pelantikan suruhanjaya.

“Tapi RCI pendatang tanpa izin di Sabah diluluskan Kabinet pada bulan Februari 2012, mengambil masa enam bulan untuk memuktamadkan terma-terma rujukan dan laporan selepas dua tahun setengah kewujudannya,” katanya. – Roketkini.com