Berita

Fahami aspirasi penduduk separa-bandar kunci ke Putrajaya

KLUANG, 20 SEPT: DAP perlu lebih menumpukan usaha mendekati rakyat di kawasan parlimen separa-bandar untuk mengembangkan sayap parti itu, sekaligus sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Umum akan datang, kata tokoh veteran DAP Lim Kit Siang.

Menyifatkannya sebagai ‘tugas mendesak’, beliau berkata, ia menandakan munculnya fasa kedua bagi parti itu dalam politik Malaysia.

“Sebelum ini, DAP hampir keseluruhannya bertumpu di kawasan bandar…keadaan sebelum ini menghalang usaha (ke kawasan separa-bandar).

“Sejak ‘tsunami politik’ 2008 dan diikuti dengan PRU lepas, kita telah meraih sokongan di kawasan separa-bandar yang pelbagai kaum,” katanya ketika berucap dalam program mesyuarat rundingan separa-bandar anjuran Forum Dasar DAP, di sini hari ini.

Namun, kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, ia belum memadai memandangkan banyak kekalahan tipis Pakatan Rakyat di kawasan separa-bandar pada PRU lalu, yang turut menjadi faktor Umno BN terus kekal berkuasa.

“Jika Pakatan berjaya menang di kawasan seumpama ini pada PRU lalu, BN pasti sudah menjadi pembangkang sekarang,” katanya lagi.

Kawasan separa-bandar yang dimaksudkan adalah seperti Kulim Bandar Baru dan Kepala Batas di selatan Kedah/utara Pulau Pinang, Tanjung Malim dan Sabak Bernam di selatan Perak/utara Selangor dan Segamat dan Sekijang di utara Johor.

Katanya lagi, Umno selama ini ‘berpaut’ di kawasan seumpama itu bagi mengekalkan kuasa, dengan mengapi-apikan sentimen dan ketakutan pengundi Melayu di sana.

“Di sanalah DAP perlu mewakili harapan bagi melawan ketakutan, menawarkan politik baru dan ekonomi untuk semua dan memberi jaminan bahawa ‘Malaysia baru’ hanya melawan kroni (Umno BN), bukannya masyarakat Melayu,” katanya.

Melengkapi meritokrasi dengan solidariti

Demi mencapai tujuan itu, kata Ketua Parlimen DAP itu lagi, parti itu perlu menilai kembali pendiriannya terhadap prinsip meritokrasi yang dipegang, agar tidak meminggirkan golongan miskin.

“Kita berhadapan dengan masalah kemiskinan yang tersebar luas dan serius, yang memerlukan kita melengkapi prinsip meritokrasi dengan semangat setiakawan. Sememangnya ia adalah nilai sosial demokrasi.”

Secara umum, kawasan parlimen separa-bandar antaranya adalah berasaskan pertanian dan perikanan; terdiri daripada masyarakat majmuk serta demografi yang lebih berusia, sementara golongan muda berhijrah ke bandar (namun masih mengundi di sana).

Bagi ‘merampas’ Putrajaya pada PRU akan datang, beliau mensasarkan Pakatan untuk memenangi 70 peratus kerusi Parlimen separa-bandar – tambahan 16 kerusi daripada sedia ada, selain 90 peratus kerusi kawasan bandar dan 20 peratus bagi luar bandar.

“Kita perlu mampu mengungkap aspirasi mereka, bagi menyediakan masa depan Malaysia melangkau Umno BN. Kawasan separa-bandar adalah kunci perjalanan kita ke Putrajaya,” katanya lagi. – Roketkini.com