Berita

Tambakan di Tg Kupang, mana lagi nelayan nak cari makan?

JOHOR BAHRU, 22 SEPT: Projek penambakan laut Forest City di Tanjung Kupang, Johor, tidak memberi sebarang kebaikan kepada penduduk tempatan, malah menjejaskan sumber pendapatan mereka yang kebanyakannya adalah nelayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting Cheo Yee How menyifatkan kesan buruk projek itu terhadap alam sekitar dan penduduk tempatan adalah serius dan tidak dapat dipulihkan semula.

“Pada akhir Januari lalu, laporan menunjukkan ribuan ikan ditemui mati, dan nelayan tempatan yakin ia berpunca daripada perubahan mendadak kualiti air ekoran penambakan besar-besaran.

“Dalam kawasan saya sendiri ada komuniti nelayan yang masih mencari rezeki di sana. Penambakan 5,000 ekar tanah di Selat Johor yang sedia sempit menyebabkan punca rezeki terjejas teruk.

“Di situlah satu-satunya tempat untuk mereka menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Isu tersebut menjadi topik utama dalam dialog awam antara pemaju dengan lebih 200 penduduk Tanjung Kupang semalam, seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Seorang nelayan, Anuar Musa ketika ditemui berkata projek Forest City memakan masa selama 30 tahun yang menjejaskan punca pendapatannya.

Manakala pengerusi Persatuan Pencinta Alam Johor Vincent Chow berkata, laporan Penilaian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) tidak menerangkan kepada penduduk, bagaimana projek itu memberi kesan kepada kawasan rumpai laut terbesar di Malaysia yang menjadi habitat pembiakan hasil laut di kawasan itu.

Tambakan bermula tanpa EIA

Forest City dimajukan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGP) dengan salah seorang pengarahnya ialah Datuk Daing Malik Daing Rahaman yang merupakan anggota Majlis Penasihat Sultan Johor (Royal Court of Advisers).

Daing Malik, ahli perniagaan yang kerap menimbulkan kontroversi di Johor, juga merupakan Ketua Umno bahagian Kota Tinggi. Beliau sebelum ini disabitkan dengan kesalahan rasuah pada 2008.

CGP adalah syarikat usahasama antara syarikat dari China, Country Garden Holdings Ltd dengan 66 peratus pegangan dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd (34 peratus pegangan).

Dalam pada itu, ketelusan projek tersebut turut dipersoalkan kerana kerja menambak dimulakan sebelum Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan.

“Pada Mac 2014, Timbalan Menteri Alam Sekitar Datuk James Dawos Damit memberitahu Parlimen bahawa EIA tidak diperlukan, kerana kawasan penambakan di bawah 50 hektar.

“Hakikatnya, beberapa kawasan termasuk lot PTD 4071 dengan keluasan 1,700 hektar diasingkan kepada CGP.

“Mustahil pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar tidak sedar penambakan adalah permulaan kepada projek mega di kawasan perikanan penting itu.
“Penambakan dijalankan secara terang-terangan tanpa kelulusan yang diperlukan, namun maklumat tentangnya masih rahsia,” katanya lagi.
Isu tersebut telah dibangkitkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Dr Boo Chen Hau kerana mengganggu operasi Pelabuhan Tanjung Pelepas serta tidak mengikut prosedur sepatutnya, namun tidak dilayan kerajaan negeri. – Roketkini.com