Rencana

Ney tuju harmoni nak dolok?

Adakah dalam kitab Al Quran ngaja kita umat Islam supaya mempertahankan agama dengan kekerasan? Adakah hadith yg nyuruh kita berbuat jaik ngan urang agama lain? Mun ada, kitak cuba madah ngan kamek, mungkin ilmu kita sik sama.

Isu Ibrahim Ali mok nunok kitab Bible ya cerita tahun lepas. Tapi tahun tok nya di sebut balit. Kenak? Disebabkan kegilaan Akta Hasutan! Akta yang pilih bulu. Akta yang hanya kenak pada orang yang mengkritik kerajaan. Mun difikirkan, kata-kata Ibrahim Ali pada masa ya lebih bahaya. Bahaya sebabnya boleh menganggu keharmornian bangsa di Malaysia.

Udah berpuluh tahun kita hidup sama di Malaysia, kita pelbagai kaum dan agama. Segal kalimah Allah, perbuatan Ibrahim Ali dianggap mempertahankan agama Islam. Patutkah nisik ya? Sik ada cara lainkah untuk nunjuk dirik tek nak mempertahankan agama?

Bayang jak mun urang agama lain molah benda yang sama untuk mempertahan agama nya juak? Nakpa nak kata kita urang Islam? Iboh nak bulak alu dirik ya lah nombor satu datang moha.

Kamek berkelaka bunyi tok bukan apa. Kamek orang Sarawak. Dari berjiran sampey lah bersekolah, bekerja, membesar sama-sama dengan urang Kristian, urang Cina, urang India – sik ada masalah. Jiran kamek dari kecik orang Bidayuh, Kristian Katolik yg kuat. Setiap pagi Ahad sama-sama keluar rumah. Sidak sekeluarga ke church, kamek adik-beradik pergi belajar mengaji. Hari raya, sidak datang rumah nolong bermasak. Hari Krismas, kamek orang ke rumah sidak sama ngias pokok krismas. Sik ada isu.

Sebab apa? Sebab kamek orang paham bah dan saling menghormati agama masing-masing. Sidak pun sik makan atau masak babi di rumah sebab sik maok jiran Islamnya was-was makan minum di rumah sidak.

Baru-baru tok Nancy Shukri dihentam teruk setegal “kenyataannya yang mempertahankan” tindakan Ibrahim Ali ya. Apa salah dan silapnya? Nya madah, nya cuma nyampey apa nak dikeluar sidak agensi yang berkaitan. Oklah nya di kedudukan yang memaksanya berkata macam ya.

Tapi rasanyalah, mun nya benar-benar maok nunjuk yang dirik nya pun sik setuju dengan semua ya, berkatalah sebagai dirik nya mpun bukannya skrip dari siapa-siapa lagik sebab nya mpun datang dari keluarga berbilang agama. Nya patut lebih tauk.

Terjemahan

Ada tak dalam kitab Al Quran mengajar kita umat Islam supaya mempertahankan agama dengan kekerasan?Adakah hadis yang menyuruh kita berbuat jahat dengan orang berlainan agama? Kalau ada, awak cuba beritahu dengan saya..mungkin ilmu kita tidak sama.

Isu Ibrahim Ali mahu membakar kitab Bible ini cerita tahun lepas. Tapi tahun ini ia disebut kembali. Kenapa? Disebabkan kegilaan Akta Hasutan! Akta yang pilih bulu. Akta yang hanya kena pada orang yang mengkritik kerajaan. Kalau difikirkan, kata-kata Ibrahim Ali pada masa itu lebih bahaya. Bahaya sebab ia boleh mengganggu keharmornian bangsa di Malaysia.

Sudah berpuluh tahun kita hidup sama di Malaysia, kita pelbagai kaum dan agama. Kerana kalimah Allah, perbuatan Ibrahim Ali dianggap mempertahankan agama Islam. Patut atau tidak? Tiada cara lainkah untuk menunjukkan diri mahu mempertahankan agama?

Bayangkan kalau orang agama lain melakukan benda yang sama untuk mempertahan agama mereka? Apa yang kita orang Islam ni nak kata? Jangan nak tipulah entah-entah awak yang akan jadi orang pertama yang naik angin.

Saya bercakap begini bukan apa. Saya orang Sarawak. Daripada berjiran sampailah bersekolah, bekerja, membesar bersama dengan orang Kristian, orang Cina, orang India- tiada masalah. Jiran saya sejak kecil orang Bidayuh, Kristian Katolik yg kuat. Setiap pagi Ahad sama-sama keluar rumah.Mereka sekeluarga ke gereja, kami adik-beradik pergi belajar mengaji. Hari raya,mereka datang ke rumah bantu sama bermasak. Hari Krismas, kami ke rumah mereka sama-sama menghias pokok Krismas. Tiada isu.

Sebab apa? Sebab kami faham dan saling menghormati agama masing-masing. Mereka pun tidak makan atau masak babi di rumah sebab tidak mahu jiran Muslim was-was makan minum di rumah mereka.

Baru-baru ini Nancy Shukri dihentam teruk kerana “kenyataannya yang mempertahankan” tindakan Ibrahim Ali itu. Apa salah dan silapnya? Dia memberitahu bahawa dia cuma menyampaikan apa yang dikeluarkan oleh agensi yang berkaitan. Oklah, dia di kedudukan yang memaksanya berkata sebegitu.

Tapi rasanyalah, kalau dia benar-benar mahu menunjukkan yang dirinya juga tidak bersetuju dengan semua itu, berkatalah sebagai dirinya sendiri, bukannya skrip daripada siapa-siapa lagi kerana dia sendiri datang dari keluarga berbilang agama. Dia patut lebih tahu.

*Nurul Hasfifi adalah ahli DAP yang kini merantau di kota Kuala Lumpur, dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Beliau berasal dari Sri Aman, Sarawak. – Roketkini.com