Rencana

Bangsa Johor: Menuju Kejadian Sebagai Bangsa Pencerahan – Siri Akhir

Johor Daru’l-Izam pernah diriwayatkan oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin sebagai sebuah negeri yang megah:

Syahadan akan negeri pun sudahlah dengan kotanya dan paritnya, yang dari hilir Sungai Kerting, yang dari hulu Sungai Johor; maka Bendahara dan Seri Nara Diraja menyegerakan orang membuat istana dan masjid, balairung kedua dan penanggahan, balai gendang, kolam telaga sekaliannya. Setelah mustaidlah dengan sepertinya, maka Sultan Alau’d-Din pun pindahlah ke istana dengan isteri baginda, diiringkan biti dayang-dayang, perwara, mandara baginda; maka Bendahara dan Seri Nara Diraja dianugerahi persalin seperti adat. Maka segala menteri, hulubalang, Orang Kaya-kaya, sida-sida, bentara sekaliannya pindahlah ke rumahnya masing-masing arah tempatnya, dan lebuh pekan pesara pun penuh pepak kedai orang; pada masa itu kampung orang arah ke hilir datang ke Beladung, yang ke hulu sampai ke Bukit Piatu, di hulu Kuala Johor.

Daru’l-Izam ini pada kurun ke-17 dan 18 merupakan antara lokasi politik yang paling strategik selepas Melaka kerana faktor geografinya yang terletak antara beberapa kerajaan besar seperti Kerajaan Majapahit, Jambi, Riau, Sumatera, Palembang, Bentan, Aceh selain Singapura itu sendiri.

Dalam bidang ekonomi dan perdagangan pula, Johor terlibat seperti Melaka. Malah kumpulan pedagang dari Sulawesi juga pernah datang berurusan di Johor selain Arab dan India.

Maka, latar sejarah ini mencorakkan sosiobudaya dan ekonomi Johor hingga hingga sampai ke zaman Johor moden. Politik Melayu Johor mengambil alih senario sehingga UMNO Johor banyak melahirkan bijak pandai dalam pelbagai bidang khususnya kepimpinan dan pentadbir.

Zaman 30-50an, hubungan antara ahli politik UMNO dengan Istana dan rakyat sangat akrab – bukan dibuat-buat seperti hari ini. Zaman itu tak perlu mengasiosiasikan UMNO dengan rakyat kerana UMNO itu semamangnya lahir atas dukungan rakyatnya yang mahu Johor tegak tanpa tunduk dengan pengaruh British atau kerajaan-kerajaan yang pernah diperanginya ketika lampau.

Sebelum wujud Persekutuan Tanah Melayu, Johor sudah memiliki Menteri Besar dan juga Pegawai Daerahnya sendiri, selain Ketua Kampung dan sebagainya.

Dalam kemajuan politik ini, Johor juga ada melahirkan tokoh-tokoh penghasut (pejuang) yang tegar. Malah Menteri Besar Johor sendiri pernah dibuang negeri atas kritikannya ke atas istana.

Penghijrahan Orang Laut selepas kejatuhan Melaka dan penempatan kaum Cina dari Singapura selepas kewujudan kerajaan Moden Johor, telah banyak memberi dampak sosial dan ekonomi. Tambak Johor dibina atas asas ini.

Tetapi BN era hari ini, pastinya tidak mengambil kira asas-asas yang dibina itu, maka tidak hairanlah mengapa langkah kenaikan tol EDL menjadi krisis yang buruk buat kedua-dua negeri. Singapura tidak dilayan sebagai rakan Johor, rakan perniagaan dan rakan bersaudara, sebaliknya dilayan sebagai seteru ‘siapa lebih berkuasa’.

Kesan sosial dari dua penghijrahan besar itu, kita boleh lihat pada demografi pengundi pada hari ini. Kira-kira 70 peratus kawasan mengundi adalah kawasan campuran kaum. Kawasan majoriti Melayu dan Cina tidak begitu signifikan.

Di Johor, terdapat banyak pekebun dari kaum Cina, selain Melayu. Begitu juga dengan peniaga, nisbahnya tidak begitu menjurang hatta dengan pemantauan mata kasar sendiri.

Masih banyak peristiwa bersejarah yang tidak atau belum dirakam oleh sejarahwan kita. Masih ada yang menyangka peristiwa perang 14 hari mempunyai kaitan dengan peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur.

Melayu Johor memang tegar, begitu juga dengan kaum Cina. Dua kaum majoriti ini sentiasa bersaing dalam pelbagai segi. Tetapi dua kaum ini tidak pernah bermusuhan dengan sikap perkauman. Tauke-tauke Cina sentiasa mempunyai hubungan yang akrab dengan kerajaan dan istana dari dulu hingga sekarang. Tokoh-tokoh agama juga sedemikian rupa.

Di Johor, agak sukar untuk bertemu dengan Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu. Dan dari pemerhatian saya sendiri, banyak Melayu yang boleh berbahasa Mandarin di Johor.

Islam di Johor agak berinstitusi, rajin dan beramal, tetapi mereka tidak begitu taksub berbanding kelompok agama negeri lain seperti negeri-negeri Utara dan Pantai Timur Semenanjung. Mereka beragama tetapi memelihara kebudayaan bangsa atau ras, baik Bugis, Jawa dan lain-lain.

Johor juga mempunyai kuasa autonomi dalam pendidikan agamanya. Pemuda yang merempit pun pasti pernah buka dan baca kitab Matla’u al-Badrin, atau kitab Tawarikh sekurang-kurangnya.

Namun selepas bermulanya era Perdana Menteri keempat Malaysia, kuasa pusat yang terlalu dominan telah memberi kesan besar terhadap sosiopolitik, sosial dan ekonomi negeri Johor.

Kesan besar ini bermaksud kesan merudumnya budaya tatakelola yang baik. Kronisme dan ketirisan bagai air hujan turun hujung atap. Guru-guru dan kaum ibu yang suatu waktu dulu mendukung UMNO kini tidak lagi betah dengan politik UMNO Baru. Johor seakan tercicir dari mendahului kemajuan politik dan sosial. Mesyuarat UMNO dihadiri oleh para kontraktor dan broker tender.

Era itu juga bermulanya kegagalan politik UMNO dalam mengurus hubungan dengan istana, gagal mengurus hubungan ekonomi dan sosial dengan Singapura dan gagal memahami dinamik anak-anak Johor terkenal dengan budaya kritisnya. Zaman ini, pemuda yang berpolitik seawal usia 35 tahun telah menjadi ‘Dato’ tua.

Hakikatnya, zaman-zaman hebat yang pernah dilalui oleh Johor pada suatu waktu dulu juga adalah sebahagian daripada cita-cita DAP yang mahu membentuk suatu masyarakat dinamik dalam konteks hubungan antara kaum. Inilah intipati Sosial Demokrasi yang menjadi ideologi dan yang diperjuangkan oleh DAP.

Johor sudah pernah memiliki ciri-ciri masyarakat seperti itu tetapi punah akibat dominasi pusat dan kelemahan kepimpinan negeri hinggakan harga air di negeri sendiri pun ditentukan oleh pusat. Mana harga diri anak Johor? Maka sesuai benar slogan ‘Luaskan Kuasa Mu’ dalam waktu ini.

Hari ini DAP akan berdepan dengan UMNO untuk menuntut kembali harga diri Bangsa Johor yang hilang.

Namun, UMNO Johor tidak boleh sekali-kali boleh disamakan dengan UMNO Selangor atau Perak. Umno Johor adalah elit, bukan elit ‘status’ tetapi elit yang bijak, pandai, dan licik yang masih tersisa dari tradisi dahulu. Ini merupakan lawan yang amat ampuh buat DAP khususnya DAP Negeri Johor.

Persaingan politik ini bukan untuk merebut populariti atau kerusi atau kuasa semata-mata. Tetapi persaingan untuk menjadikan dan mengembalikan Bangsa Johor sebagai bangsa yang cerah. Bangsa yang cerah adalah bangsa bermaruah. BR1M bukan maruah yang perlu dituntut.

Bangsa Johor adalah imej Bangsa Malaysia. Inilah tujuan kita.

Kosa kata Johor

Buran (dimarahi) “Dalam mesyuarat, MB kena buran cukup-cukup dengan Sultan.”

Kebukun (tercekik) “Jamu nasi tak hidang air, boleh kebukun tekak.”

Perun (bakar) – Kang/Karang (nanti) “Beli buku maha-mahal, tapi tak baca, aku perun kang ”

Bulo (tak nampak/buta) “Mata kau dah bulo ek, tak nampak tunggul?”

Ek’ (pelengkap kata/soalan) “Dia kena langgo (langgar) ek?”