Berita

Kalau berani, KPN perlu usul sendiri IPCMC – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini mencabar Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar agar mengusulkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Ini berikutan kenyataan Khalid semalam, bahawa polis tidak pernah membantah penubuhan IPCMC, sebaliknya hanya tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan, antaranya seperti tiada hak untuk merayu bagi polis yang disabit kesalahan oleh suruhanjaya itu.

“IPCMC kita tidak pernah membantah, cuma kita tidak bersetuju dengan terma yang diusulkan di mana tidak memberi hak kepada warga PDRM, seolah-olah PDRM warga kelas kedua yang tiada hak di bawah undang-undang,” kata Khalid, seperti dipetik Berita Harian semalam.

Kit Siang berkata, Khalid seperti menganggap rakyat Malaysia mudah lupa betapa kuatnya penentangan pimpinan tertinggi Polis ketika cadangan penubuhan IPCMC diajukan ketika zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu.

“Adakah Khalid kini berkata yang polis akan menyokong suruhanjaya itu, jika mereka diberi hak untuk merayu? Rakyat Malaysia pasti bersetuju bahawa polis berhak mendapat hak itu.

“Maka, adakah Khalid bersedia untuk mengusulkan kepada  Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri dan Kabinet bahawa IPCMC, dengan hak kepada polis untuk membuat rayuan, perlu dibentangkan ke parlimen?

“Apatah lagi ini sahajalah caranya untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap integriti polis, serta membanteras salah guna kuasa dan rasuah dalam badan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Penubuhan IPCMC ternyata semakin mendesak apabila masalah kematian dalam tahanan yang menjadi tumpuan utama dalam suruhanjaya itu tidak melihatkan apa-apa tanda untuk berkurang, apabila sudah sepuluh kes berlaku di Pulau Pinang pada tahun ini.

Malah pada 8 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Khalid dan pegawainya bertanggungjawab atas kematian A Kugan ketika ditahan di dalam lokap polis lima tahun lalu.

Dengan ‘orang nombor satu ’ polis sendiri dipertanggungjawabkan dalam kes itu, kata Kit Siang lagi, penubuhan IPCMC semakin mendesak memandangkan orang ramai tiada keyakinan polis dapat memperbetulkan sendiri kelemahan mereka. – Roketkini.com