Berita

Contohi Sarawak, siasat segera pembalakan haram di Sabah -Chan Foong Hin

TAWAU, 25 OKT: Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat ketirisan serius royalti balak negeri itu yang telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

“Saya menyeru SPRM untuk campur tangan menyiasat aktiviti menyalahi undang-undang dan rasuah yang serius dalam royalti balak Sabah.

“Walaupun tugas ini amat berat untuk meletakkan satu pengakhiran kepada korupsi dalam sektor pembalakan haram kerana melibatkan banyak kepentingan, tapi ia tetap harus ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Adun Sri Tanjong itu berkata demikian mengulas tindakan berani negeri jiran Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri baru Tan Sri Adenan Satem yang mengarahkan SPRM tanpa belas kasihan menyiasat sesiapa saja terlibat dalam pembalakan haram.

Di bawah operasi yang digelar ‘Ops Tukul’ dengan kerjasama bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perhutanan Sarawak, SPRM kini sedang giat menyiasat kegiatan tersebut yang menelan kerugian sebanyak RM100 juta setahun.

SPRM juga dilaporkan telah membekukan 30 akaun oleh 10 syarikat pembalakan terbabit, berjumlah RM18 juta.

Berdasarkan pemerhatian SPRM selama sembilan bulan ini, Sarawak telah kehilangan RM43 juta daripada kegiatan pembalakan haram.

The Borneo Post, pada 22 Mac 2012 melaporkan kerugian dialami akibat pembalakan haram adalah sebanyak 0.01 peratus daripada RM731 juta dalam pendapatan yang dikumpulkan dari cukai balak dan royalti pada tahun 2010.

Sehubungan itu, Chan berharap SPRM turut mengambil pendekatan sama di Sabah berikutan masalah tersebut yang semakin meruncing dan memberi keuntungan berlipat ganda kepada individu atau syarikat tertentu.

“Kami ingin tahu adakah Sabah memiliki masalah sama? Royalti balak di negeri ini telah turun secara drastik iaitu lebih 60 peratus daripada RM465 juta pada tahun 2005 kepada RM173 juta pada 2012. Berapa banyak lagikah kerugian yang terpaksa ditanggung?” soalnya. -Roketkini.com