Berita

Jelaskan mengapa syarikat milik kerajaan tidak bayar hutang – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 29 OKT: DAP hari ini mendesak kerajaan untuk menjelaskan mengapa syarikat berkaitan atau milik kerajaan (GLC) dibiarkan ‘lepas’ walaupun mempunyai hutang terkumpul berjumlah RM4.5 bilion pada akhir 2012.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, berdasarkan Laporan Audit Negara 2012 sembilan GLC, antaranya Cyberview, Indah Water Konsortium, UDA Holdings, Malaysia Debt Ventures, Columbia Aircraft Manufacturing Corporation masih berhutang ratusan juta dengan kerajaan.

“Jumlah tertunggak GLC adalah RM1.3 bilion pada akhir tahun 2012. Mereka sepatutnya membayar sebanyak RM640.4 juta pada tahun 2012 tetapi hanya berjaya membayar RM221.98 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, Indah Water Konsortium (IWK) gagal membayar satu sen pun pinjaman RM165.58 juta dan mempunyai pinjaman terkumpul sebanyak RM1.94 bilion pada akhir tahun 2012.

Menurut Kian Ming, syarikat-syarikat yang gagal melakukan pembayaran balik itu mencatatkan keuntungan, seperti pemaju utama bandar pintar Cyberjaya iaitu Cyberview yang mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.7 juta pada tahun 2013, Debt Ventures Malaysia sebanyak RM23.7 juta pada tahun sama, dan Composites Technology Research Malaysia (CTRM) RM12 juta pada tahun 2012.

“Mengapa syarikat-syarikat ini seperti mendapat ‘pas percuma’ manakala berjuta-juta pemimjam PTPTN yang lain diberikan tindakan begitu berat termasuk disenaraihitamkan kredit.

“Bagi syarikat-syarikat yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang kerana aliran tunai yang lemah, untung sedikit dan simpanan negatif, berapa banyak lagikah kerajaan akan terus berbelanja untuk mereka?” soalnya.

Menteri Pendidikan 2 Datuk Seri Idris Jusoh awal bulan ini dilaporkan menyatakan bahawa 170,000 peminjam PTPTN akan disenaraikan nama mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) pada tahun depan jika enggan membayar balik berjumlah RM1.2 bilion daripada kerajaan sejak 1998 hingga 2010.

Pada 8 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan menyarankan kepada 552,000 peminjam yang tidak membayar walau satu sen kepada PTPTN selepas menamatkan pengajian supaya bertaubat. -Roketkini.com