Berita

Najib mungkir janji mansuh Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) mengecam tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memungkiri janjinya sedniri untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Keputusan Najib secara tiba-tiba mahu mengekalkan Akta Hasutan yang didakwa demi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta menangani gesaan sebilangan pihak untuk memisahkan Sabah, Sarawak jelas sekali berniat jahat.

“Walhal akta kuno ini secara berleluasa telah disalahguna untuk menahan ahli politik, aktivis dan sesiapa saja yang mengkritik kerajaan.

“Keputusan Najib ini akan lebih mengongkong kebebasan bersuara dan berekspresi, sekaligus menjadikan masa depan rakyat bertambah suram di bawah pemerintahan tidak demokratik,” kata GHAH dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dalam ucapan perasmiann perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini

Malah kata Najib, akta itu akan turut diperkuat dan diperkukuhkan dengan memasukkan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain juga tidak boleh dihina.

Selain itu cadangan tambahan keatas Akta Hasutan adalah supaya tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Justeru itu, GHAH menyeru Najib agar menghormati norma demokrasi, kedaulatan undang-undang dan bertanggungjawab kepada seluruh rakyat terhadap janji yang pernah berkali-kali beliau taburkan sebelum ini.

“Najib perlu ingat bahawa beliau telah berulang kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan janji itu harus dikotakan,” tegas kenyataan tersebut. -Roketkini.com