Berita

Tinggal provokasi murahan, fokus bantu mangsa banjir – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Orang ramai diseru menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam usaha menyelamatkan lebih 120,000 mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Perlis dan Kedah.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menjawab provokasi murahan pengguna media sosial twitter yang menggesanya untuk ‘turun padang’ melawat mangsa banjir.

“Saya sebenarnya menjalankan khidmat nasional. Fokus saya beberapa hari ini ada tiga objektif.

“Pertama, pujuk Najib memendekkan cutinya. Kedua, menggesa mesyuarat tergempar kabinet dalam tempoh 24 jam dan meminta Perdana Menteri mengisytihar darurat untuk mengurus bencana banjir.

“Bukan bermaksud saya tak mahu melawat Kelantan atau tempat banjir.

“Tetapi, bila banjir berlaku warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau parti politik harus bersama sebagai rakyat Malaysia membantu mangsa-mangsa,” jelas Kit Siang.

Ujarnya, banjir yang melanda antara yang terburuk pernah dicatatkan, justeru itu memerlukan perhatian kerajaan Pusat mengepalai misi menyelamatkan mangsa banjir.

Tambah Kit Siang, perisytiharan darurat penting bagi menggerakkan jentera kerajaan dan mengurangkan birokrasi antara jabatan yang diselia Pusat.

Kelantan antara yang paling teruk terjejas sehingga perjalanan 10 kilometer dari Keroh ke pejabat daerah Kuala Krai mengambil masa empat jam.

Malah, dilaporkan 100 mangsa yang berlindung di sebuah sekolah daerah Kuala Krai terpaksa bertahan 40 jam tanpa air bersih, elektrik dan makanan.

“Kerana itu DAP melalui Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke melancarkan kempen mengumpul dana di seluruh negara dengan kerjasama DAP negeri.

“Ayuh kita bergerak dan beri keutamaan kepada mangsa banjir dan berdoa agar niat saya dimakbulkan, iaitu mesyuarat tergempar kabinet dan perisytiharan darurat bagi mengurus bencana,” ujarnya. – Roketkini.com