Rencana

Pantau Sekolah Demokrasi: GPMS Kedah Tidak Mencerminkan Golongan Terpelajar

Merujuk kepada laporan Sinar Harian bertajuk Perlukah sekolah demokrasi?  berkenaan tindakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyeru pihak berkuasa memantau Sekolah Demokrasi, saya berpandangan ia adalah satu tindakan gelojoh dan tidak mencerminkan golongan terpelajar.

Tanpa sebarang maklumat mencukupi tentang Sekolah Demokrasi, GPMS Kedah terus membuat kesimpulan bahawa Sekolah Demokrasi mestilah dipantau pihak berkuasa.

Sekiranya GPMS Kedah ada sifat budiman, tentu mereka akan bertanya kepada pihak penganjur, mana-mana alumni Sekolah Demokrasi atau turut serta sendiri bagi memahami program berkenaan. Bukannya gelojoh menyeru pihak berkuasa memantau hanya berdasarkan paranoia tidak berpenghujung.

SINAR2GPMS Kedah juga membuat pertuduhan bahawa penggunaan perkataan ‘sekolah’ pada Sekolah Demokrasi boleh mengelirukan masyarakat. GPMS Kedah tidak seharusnya memandang rendah kemampuan berfikir masyarakat. Seolah-olah masyarakat tidak mampu membezakan antara ‘sekolah’ sebagai sebuah institusi pendidikan dan ‘sekolah’ dalam erti kata umum, tempat belajar.

Yang lebih mengelirukan sebenarnya adalah gelaran ‘pelajar’ di dalam nama GPMS Kedah. Ini kerana tindakan mereka tidak langsung menggambarkan sifat-sifat insan terpelajar dan menjunjung tinggi budaya ilmu.

Sesebuah negara demokrasi itu hanya mempunyai makna apabila warganya terdidik. Bukan saja dengan pendidikan kurikulum, ko-kurikulum atau kemahiran, tetapi juga harus terdidik tentang hak dan peranan mereka sebagai warga sebuah negara.

Sekolah Demokrasi adalah usaha untuk berkongsi ilmu dengan anak muda hari ini tentang politik, demokrasi dan pencarian titik tengah antara pertembungan kepentingan rakyat dalam ekonomi. Selain berharap ia menjadi salah satu penggerak aktif melahirkan anak-anak muda berjiwa demokrat.

Peserta juga didedahkan dengan ideologi Sosial Demokrasi yang menjadi pegangan beberapa buah parti politik di dunia. Contohnya, Democratic Action Party (DAP) di Malaysia, Social Democratic Party of Germany (SPD), Swedish Social Democratic Party (SAP), Labour Party di Norway (DNA), dan banyak lagi.

Ideologi Sosial Demokrasi mempunyai tiga teras iaitu kebebasan, keadilan dan kebersamaan. Ketiga-tiga teras itu tentu sekali tidak lari jauh dari semangat Perlembagaan Persekutuan. Sepertimana ia difahami oleh bapa-bapa pengasas negara ini.

Tindakan GPMS ini dilihat hanyalah satu lagi cubaan kumpulan anti-wacana yang sering menyarankan politik gertak menggertak.

Seperti kumpulan anti-wacana lain, negara akan diminta campur tangan dalam ruang wacana bagi tujuan menakut-nakutkan sesiapa yang terlibat. Meskipun tanpa bukti jelas adanya perkara yang mengancam keselamatan negara. Semua itu bertujuan agar dapat mengekalkan hagemoni ide-ide tertentu yang telah lama ditanam ke dalam masyarakat.

Selaku penyelaras Sekolah Demokrasi, saya menggalakkan ahli GPMS Kedah menyertai Sekolah Demokrasi bagi merasai sendiri erti dan budaya demokrasi. Bukan sekadar menjadi penembak perluru sesat.

Kenyataan Media oleh Penyelaras Sekolah Demokrasi, Edry Faizal Eddy Yusof. – Roketkini.com