Berita

JPM cemar nama Tun Razak, Najib perlu buat penjelasan

GELANG PATAH, 26 FEB: Kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menerangkan perbelanjaan jutaan dolar isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor menggunakan wang warisan Tun Abdul Razak menimbulkan lebih banyak persoalan apabila adik-beradik Perdana Menteri Najib Tun Razak yang lain menafikan hal itu.

Ekoran dari itu, Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Najib memberi penjelasan berikutan isu perbelanjaan mewah isterinya kerana ia mencemarkan nama baik ayahnya sendiri, Tun Abdul Razak Hussein.

“Diam diri bukan pilihan untuk Najiib setelah kontroversi Rosmah mendapat liputan antarabangsa,” ujar Kit Siang.

The New York Times pada 9 Februari lalu melaporkan kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang menjelaskan semua perbelanjaan, termasuklah barang kemas yang dibeli dengan harga jutaan dolar adalah menggunakan kekayaan yang diwarisi Tun Razak.

Namun, empat orang saudara Najib tidak bersetuju dengan apa yang telah dilaporkan dan mengeluarkan kenyataan untuk memelihara nama baik bapa mereka yang tercalar setelah spekulasi harta pusaka keluarga mereka menjadi isu besar di dada akhbar antarabangsa.

Johari, Nizam, Nazim, dan Nazir Razak dalam kenyataan bersama mereka menyebut, “Kami ingin menyatakan secara terbuka bahawa Abdul Razak adalah seorang yang sangat berprinsip. Semua orang mengenal beliau sebagai seorang yang berjimat-cermat, dan berintegriti jitu. Sebarang kenyataan yang dibuat dengan maksud sebaliknya adalah palsu sama-sekali dan mencemarkan nama, jasa serta pengorbanan beliau terhadap negara.”

Justeru itu, Kit Siang menggesa Najib menamatkan spekulasi yang melanda dirinya dan keluarga dengan menjelaskan perihal skandal melibatkan Rosmah Mansor setelah kenyataan JPM memburukkan lagi nama Malaysia di mata dunia.

“Tun Razak memang terkenal sederhana, saya masih ingat di Parlimen dulu dia sangat berintegriti.

“Reputasi dua Perdana Menteri-bapa dan anak- kini dipertaruhkan, Najib kena jawab semua kontroversi yang timbul setelah laporan The New York Times pada 9 Februari lalu,” tegas Kit Siang. -Roketkini.com