Berita

DAP komited beri bantuan guaman kepada penduduk Kampung Gatco

RASAH, 5 MAC: Susulan penangkapan 25 penduduk Kampung Gatco, DAP memberikan komitmen untuk sedia khidmat guaman kepada mangsa dari kalangan penduduk Kampung Gatco agar kemelut mereka dan pemaju dapat diselesaikan.

Ketua DAPSY Kebangsaan Teo Kok Seong memberitahu kepada pemberita isu penduduk Kampung Gatco dan pemaju Thamarai Holdings sudah berlarutan lebih kurang empat tahun, namun berakhir dengan kejadian penangkapan 25 penduduk yang berhimpun kelmarin.

Semalam, tiga Adun Pakatan Rakyat ditangkap dan dibawa ke balai bersama 25 orang yang lain. Dua Adun DAP, Chew Seh Yong dan P Gunasekaren, serta seorang Adun dari PKR, M Ravi, telah dibawa ke balai apabila cuba menghalang Unit Simpanan Persekutuan(FRU) dari menyuraikan himpunan aman penduduk kampung.

“DAP memang ikuti isu Kampung Gatco, dan kita akan bantu mereka sedaya-upaya kita.

“YB-YB Pakatan Rakyat juga turut berhimpun bersama penduduk kampung menghalang usaha perobohan kebun-kebun dan tanah yang diduduki mereka.

“Mereka berhimpun demi kepentingan penduduk kampung,” ujar Ahli Parlimen Rasah itu lagi.

Sehubungan dengan itu, Kok Seong menegaskan komitmen DAP untuk membantu semua mangsa-mangsa dari kalangan penduduk kampung ekoran skim gagal yang ditawarkan Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (KKPL).

Kegagalan skim itu berakhir apabila Gatco menjual tanah yang dipajak Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) kepada Thamarai Holdings. Merasa tertipu, penduduk telah menyaman dua syarikat itu, dan menunggu 26 Mac ini untuk didengar di mahkamah.

Walaupun belum lagi didengar di mahkamah, Thamarai Holdings bertindak untuk memulakan operasi perobohan di Kampung Gatco.

“DAP akan terus bantu penduduk kampung dengan menyediakan bantuan guaman kepada mereka.

“Saya juga desak kerajaan negeri untuk ambil peranan penting selesaikan kemelut penduduk Kampung Gatco, mereka tidak boleh diam diri sahaja,” tegas Kok Seong lagi. -Roketkini.com