Berita

Hudud: ‘Mahu beranak pinak, mesti ada teman wanita dahulu’ – Wan Ji

PETALING JAYA, 1 APR – “Seseorang tak boleh bercerita tentang nak dapat anak, sedangkan dia ‘girlfriend’ pun tak ada.” Demikian analogi yang dikemukakan bagi menerangkan bahawa pelaksanaan undang-undang hudud perlu terlebih dahulu menyelesaikan beberapa syarat.

Panelis forum ‘Pro-Kontra Hudud Kelantan’, Ustaz Wan Ji Wan Husin ketika memberikan analogi tersebut menegaskan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak boleh berlaku sekiranya keadaan ekonomi rakyat masih tidak terbela.

“Serupa juga kamu nak buat hudud tetapi dalam keadaan kamu tidak tunaikan perkara-perkara dasar yang perlu dilaksanakan,” ujarnya sambil menambah bahawa hudud tidak boleh lari daripada ekonomi.

Menurut beliau lagi ketelusan dalam pentadbiran belum dilaksanakan di Kelantan, memandangkan masih tidak wujud unit ‘hisbah’ seperti badan semakan yang wujud di Selangor dan Pulau Pinang, demi memastikan ketelusan dalam agihan hasil kekayaan negeri.

“Ketelusan dalam pentadbiran pun belum dilaksanakan lagi, itu merupakan antara benda-benda dasar yang perlu diselesaikan.”

Kebimbangan terhadap hudud, berasas

“Sudah ada negara yang cuba melaksanakan hudud, dan gagal,” ujar beliau di forum anjuran Malaysiakini dan JalanTelawi.com semalam.

“Sudan sebagai contoh, pernah cuba melaksanakan hukuman hudud tetapi gagal,” ulas Wanji merujuk hukuman bunuh ke atas seorang ulamak Islam yang terkenal di negara tersebut yang dituduh murtad ekoran perbezaan pendapat politik.

Menurut beliau, wujudnya keraguan dan kebimbangan terhadap pelaksanaan hudud adalah berdasarkan asas-asas yang boleh dilihat di seluruh dunia.

SUFI7799“Ulama Islam di Malaysia perlu menjawab segala keraguan ini sebelum melaksanakan hudud,” tambah beliau.

Dalam rangka melaksanakan undang-undang hudud, PAS Kelantan telah bertindak secara unilateral dan bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat apabila ia meluluskan pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 pada pertengahan Mac lalu.
Ini diikuti rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan pelaksanaan undang-undang tersebut yang turut dilakukan tanpa konsensus Majlis Pimpinan Pakatan.

Dijangkakan RUU persendirian tersebut bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang menghadkan mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman maksima tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam tahun penjara sahaja.

Forum semalam turut menampilkan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar Khalid Jaafar, serta pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi PAS Negeri Sembilan Muhammad Faiz Datuk Fadzil Noor. – Roketkini.com