Berita

Tangkapan TMI: DAP puji keberanian wartawan

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: DAP memuji keberanian pengamal media di Malaysia yang telah membuktikan bahawa mereka tidak gentar bahkan terus melawan segala kendala terhadap kebebasan media dari cengkaman BN dan salahguna kuasa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kata Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada vigil oleh pengamal media semalam yang berlangsung dengan jayanya berikutan penahanan tidak bertanggungjawab pihak polis ke atas editor kanan The Malaysian Insider (TMI).

“Vigil yang berlangsung semalam dengan penuh semangat oleh wartawan muda di luar Balai Polis Dang Wangi adalah tindakan spontan oleh lingkungan media bagi menunjukkan bahawa mereka tidak takut akan kuasa-kuasa menindas yang mahu menghadkan kebebasan melalui tindakan penahanan secara sewenang-wenang.

“DAP menyanjung 5 pegawai kanan TMI itu sebagai wira kebebasan akhbar yang mahu membawa pencerahan kepada Malaysia, seperti kata Plato ‘kita boleh maafkan anak kecil yang takutkan kegelapan, namun tragedi sebenar kehidupan ialah apabila si dewasa takutkan cahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, beliau juga sangat tersentuh melihat orang ramai dan badan-badan antarabangsa yang mengecam penangkapan eksekutif kanan TMI.

Ujar Ahli Parlimen Bagan itu lagi, sebarang kesilapan harus diambil kira tapi hukuman yang diberikan harus juga setimpal dengan kesalahan.

“Bagi para wartawan, penarik-balikan dan permintaan maaf serta hukuman denda daripada saman fitnah sewajarnya mencukupi,” ujar beliau mengandaikan sekiranya wujud sebarang salah lapor di pihak TMI.

“Ini amalan lazim di peringkat antarabangsa, sebarang hukuman yang lebih berat seperti tangkapan oleh pihak polis, adalah percubaan untuk membantutkan kebebasan bersuara dan akhbar,” katanya. – Roketkini.com