Berita

“Apakah SPRM lupa bahawa ahli politik perlu telus tentang harta mereka?

KULAI, 24 APR: Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Aziz Tunku Ibrahim seolah-olah terlupa bahawa semua ahli-ahli politik perlu bersih dan telus berhubung pendapatan dan kekayaan mereka.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching kesal dengan kenyataan Tunku Abdul Aziz semalam bahawa syak wasangka sahaja tidak cukup untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan salah laku kekayaan keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

“Jika Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed boleh mengarahkan siasatan mengenai cincin berlian RM24 juta, hanya sejam selepas laporan polis dibuat pada 2011, mengapa mereka tidak boleh lakukan sekarang?

“Apakah Tunku Aziz mengalihkan pula tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia biasa yang tidak mempunyai kuasa untuk mengambil kenyataan dan akses kepada dokumen untuk menjalankan siasatan? sindir Nie Ching.

Tunku Aziz, yang juga bekas Pengerusi Tranparency International dilaporkan berkata, ‘kamu tidak bunuh seekor kucing hanya kerana sangka ia makan ikan kamu,’.

Kkata Nie Ching, Tunku Aziz tidak sepatutnya sukar memahami perbezaan antara siasatan dengan hukuman.

“Akhbar The New York Times (NYT) sendiri pada 8 Februari lalu melaporkan menerima salinan invois dan dokumen lain menunjukkan tempahan barang kemas bernilai berjuta-juta dolar di Hong Kong pada 2008 dan 2009.

“Mengapa SPRM tidak mendapatkan NYT untuk sekurang-kurangnta melihat invois dan dokumen berkenaan?

“SPRM ditubuhkan dan dibayar untuk menyiasat. Adalah menjadi tanggungjawab badan itu untuk mencari bukti,” tegas Nie Ching.

Tambah Penolong Setiausaha DAP itu, dakwaan mengenai kekayaan keluarga Najib bukan sekadar khabar angin, ibarat ‘gajah depan di depan mata’.

“Jika SPRM enggan menyiasat seseorang yang terbukti hidup di luar kemampuannya, jangan harap badan itu akan dihormati orang ramai,” ujar Nie Ching. – Roketkini.com