Berita

Tabung Haji akui penyimpan hilang keyakinan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Lembaga Tabung Haji mengakui tahap keyakinan pelabur kepada agensi itu terjejas ekoran pendedahan wujud kaitan dengan syarikat tajaan kerajaan 1MDB.

Keadaan itu dapat dibuktikan dengan pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail sendiri ketika beliau ditemu bual akhbar Berita Harian baru-baru ini.

Memetik laporan itu, Ismee berkata, sepanjang Mei 2015 berlaku pengeluaran bersih iatu kira-kira RM50 juta.

Pada masa sama, Ismee memberitahu, jumlah purata wang masuk ke Tabung Haji pada Mei berkurangan kepada RM40 juta.

“Jadi ada pengeluaran bersih kerana purata duit masuk pada Mei hanya RM40 juta,” katanya dalam Berita Harian.

Mengakui keyakinan pendeposit merudum dan kecewa, Ismee berkata, ada penyimpan mengambil semula wang mereka dan mengakui kecewa atau tidak lagi yakin kepada Tabung Haji.

“Kita (Tabung Haji) memantau, kita jujur dan tak nak kata tiada orang keluar apabila isu baru-baru ini dibangkitkan.

“Bagi saya ia adalah hak pendeposit,” katanya.

Tabung Haji mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila didedahkan membeli 1.56 ekar tanah di Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan harga RM188.5 juta.

Walaupun transaksi itu boleh dihujahkan membawa keuntungan kepada Tabung Haji, apa yang menjengkelkan ramai pihak ialah, ia dilihat sebagai langkah menyelamatkan 1MDB yang sedang dibebani hutang menggunung.

Apabila Tabung Haji dikecam pembangkang dan penyokong kerajaan, pengerusinya kemudian mendakwa tanah berkenaan akan dijual kepada pihak lain.

Dalam sidang medianya pada 9 Mei lalu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa ada tiga pihak berminat untuk membeli tanah berkenaan dan berjanji untuk mendedahkan butiran “syarikat” itu “pada minggu depan.”

Bagaimanapun, selepas beberapa minggu – dan ketika berita ini ditulis – tidak diketahui maklumat yang dijanjikan Abdul Azeez itu. – Roketkini.com