Berita

Dokumen M&A londeh hakikat peranan Najib dalam 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Nampaknya Datuk Seri Najib Razak tidak serik untuk membohongi rakyat walaupun penafian demi penafian yang dibuatnya sudah diketahui palsu.

Dalam usaha mempertahankan 1MDB, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, perdana menteri terus mahu meyakinkan rakyat bahawa syarikat itu masih ‘sihat’ dan boleh diselamatkan walaupun hutang yang ditanggung teramat besar.

tony puaKata Tony, berdasarkan dokumen Memorandum dan Tata Urusan Syarikat (M&A) 1MDB yang dikeluarkan baru-baru ini, ia jelas menunjukkan Najib mempunyai kuasa mutlak ke atas segala keputusan yang dibuat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

TIA adalah syarikat milik Terengganu yang kemudian distruktur semula menjadi 1MDB.

Kata Tony, Najib harus berhenti mendakwa dia tidak tahu apa-apa dalam keputusan diambil 1MDB yang kini dibebani hutang sekurang-kurangnya RM42 bilion.

“Ia cuma dilakukan Najib untuk menafikan kesalahan sendiri dan melindungi kepentingannya,” kata Tony dalam satu kenyataan hari ini.

Peruntukan 17 dalam M&A TIA menyatakan, badan itu mesti mendapatkan kelulusan bertulis daripada perdana menteri sebelum boleh memberi sebarang komitmen kewangan, seperti pelaburan, penyusunan semula dan sebarang keputusan berkaitan dasar kerajaan Pusat.

Peruntukan yang sama juga menyebut, kelulusan bertulis perdana menteri diperlukan untuk meminda sebarang butiran dalam M&A, pelantikan pengarah syarikat dan ahli pengurusan kanan.

Lebih daripada terlibat

“Bukti dalam peruntukan itu melondehkan fakta bahawa semua jawapan Najib sebelum ini palsu, dan dilakukan hanya untuk menjarakkan dirinya daripada pengurusan serta operasi 1MDB,” tegas Tony.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, peruntukan dalam dokumen berkenaan juga bercanggah daripada kenyataan kerajaan bahawa Najib tidak terlibat dalam operasi harian 1MDB.

Malah katanya, dalam surat kepada beliau pada 21 November 2014, peguam Najib juga tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa perdana menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB hanya memberi saranan kepada Lembaga Penasihat, yang terlibat dalam pengurusan dan operasi.

“Tapi sebenarnya Najib adalah lebih daripada terlibat secara langsung, lebih daripada apa kita tahu (pengkritik 1MDB) selepas peranannya didedahkan dalam M&A,” ujarnya.  – Roketkini.com