Rencana

Keistimewaan untuk bukan-Cina dalam DAP?

Saya ahli DAP dan bekas editor The Rocket (BM) dan Roketkini, portal rasmi DAP. Kepada Melayu yang mahu menyertai DAP dan mengharapkan layanan istimewa, saya sarankan lebih baik isi borang UMNO.

DAP tidak harus menjadi laluan mudah untuk menempah tiket sebagai calon dalam pilihanraya atau untuk menjadi pemimpin parti politik.

Sebahagian orang juga berpandangan DAP boleh mengubah citranya sebagai ‘parti Cina’ dengan membuka ruang kepada lebih banyak Melayu. Ini benar.

Sememangnya DAP perlu mengubah citranya, namun bukan dengan cara tangkap muat. Apatahlagi citra cina-nya DAP itu bukan sesuatu yang disengajakan.

Sejak penubuhan DAP hampir 50 tahun lalu, parti ini memperjuangkan keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum.

Persoalan yang barangkali tidak pernah orang tanya, mengapa perjuangan ke arah keadilan, kebebasan, dan kesetaraan peluang tidak begitu mendapat sambutan kaum bukan-Cina di Malaysia?

Perjuangan politik kemajmukan kaum dan pro-hak asasi manusia lebih mendapat sambutan sejak Anwar Ibrahim mula memimpin pembangkang. Parti berbilang kaum dilihat sebagai sesuatu yang mungkin hanya setelah Parti Keadilan muncul menjelang pilihanraya tahun 1999. Padahal DAP telah memperjuangkan Malaysia untuk semua kaum sejak tahun 1966.

Maka, dalam keghairahan DAP untuk mengubah citranya dan dalam berdepan dengan tekanan luar untuk membuktikan bahawa ia bukan-parti Cina, saya berpendirian bahawa DAP harus tetap berpegang dengan amalan meritokrasi.

Sewaktu pilihanraya di parlimen Teluk Intan, saya antara yang mendukung pencalonan Dyana Sofya, atas dua alasan: Pertama dan paling utama, dia layak dan telah membuktikan kesungguhan sebagai aktivis parti. Kedua, kerana keperluan untuk menonjolkan lebih banyak bakat dari kaum bukan-Cina dalam DAP.

Seperkara lagi, saya mahu berkongsi pengalaman dalam DAP dengan ahli-ahli baru, Melayu atau pun bukan. Para pemimpin DAP, setakat beberapa orang yang saya kenal, adalah orang-orang yang kuat bekerja, berdisiplin, tekun dan nekad dalam perjuangan mereka. Mereka muncul sebagai pemimpin dan wakil rakyat kerana bakat dan kerja keras mereka.

Maka, pesan saya, tanggalkan ‘kulit’ Melayu anda di pintu masuk rumah DAP dan, kalau mahu, tunjukkan ‘isi’ anda sebagai seorang Melayu, India, Iban, Dayak – isi yang boleh memberi saingan kepada para pemimpin sedia ada dan memperkaya budaya dalam parti, demi negara dan bangsa Malaysia, bukan demi ketuanan kaum atau agama anda.

Beberapa pihak membangkitkan sama ada Melayu hanya ‘token’ dalam DAP. Untuk memahami perkara ini, pihak yang ingin tahu hanya perlu semak rekod Zairil Khir Johari di Parlimen dan berita-berita tentang beliau, atau tentang Ariff Sabri (Ahli Parlimen Raub) dan Tengku Zulpuri (ADUN Mentakab).

Selain itu, boleh juga lihat peranan yang dimainkan oleh Dyana Sofya di Teluk Intan, Rara Othman dalam projek Impian Kelantan, Mahdzir Ibrahim di Johor dan beberapa orang lagi.

Beberapa bakat baru dari kaum bukan-Cina akan muncul tidak lama lagi dari dalam DAP. Anda boleh merasa pasti bahawa mereka muncul nanti bukan kerana warna kulit.

Majoriti ahli DAP sememangnya Cina dan boleh dikatakan bahawa budaya parti ini boleh dikatakan dipengaruhi budaya kaum Cina. Namun, budaya yang sedia ada bukan sengaja dibentuk untuk menghalang kaum lain, dan ia juga tidak seragam.

Sebagai contoh, di kalangan Cina itu ada yang telah terpengaruh pula dengan budaya Inggeris sehingga disindir oleh rakan-rakan sebagai “lebih Inggeris daripada orang Inggeris”. Maka, soal budaya ini pasti akan menimbulkan cabaran. Bagaimanapun, biarlah saya sentul hal ini dalam rencana lain nanti.

Akhir kata kepada yang meminta laluan dipermudah untuk Melayu dan kaum bukan-Cina dalam DAP itu kita katakan: Kami tak perlukan tongkat! – Roketkini.com