Rencana

Kematian anggota bomba: Bukti kerajaan gagal kawal kebanjiran PATI di Sabah

DAP Sabah ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada keluarga wira negara, Apolos Jeremos yang berusia 25 tahun, anggota bomba yang maut akibat renjatan elektrik ketika menjalankan tugas memadamkan kebakaran di Taman Kenari Batu 7 Sandakan 20 Julai baru-baru ini. Pengorbanan wira kita bergadai nyawa demi menyelamatkan nyawa dan harta penduduk sekitar dari kebakaran amat disanjung tinggi.

Apa yang mengecewakan, anggota bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan ini maut di tempat kejadian akibat renjatan elektrik dari penyambungan elektrik secara haram ke kawasan setinggan berhampiran.

Apabila kejadian ini berlaku, maka timbul persoalan besar iaitu adakah pihak yang bertanggungjawab membekalkan elektrik di Sabah (SESB) tidak menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan mereka?

Namun, pihak SESB telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan terdapat 111 koloni setinggan di seluruh Sabah malah mendakwa pihaknya telah menjalankan lebih 100 operasi membanteras kegiatan curi bekalan elektrik kebanyakannya di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan tidak terkecuali Kota Kinabalu. Apa yang mengejutkan, sekitar 10,000 rumah setinggan di Sabah dilaporkan menggunakan elektrik secara haram!

Mungkinkah masalah gangguan elektrik ini juga berkait rapat dengan kegiatan ‘curi elektrik’ yang berleluasa hingga telah mengorbankan seorang wira negara angkara perbuatan itu dan penguatkuasaan yang lemah?

Siapakah yang mahu bertanggungjawab terhadap insiden ini atau kita hanya senang menyalahkan koloni setinggan yang rata-rata didiami warga asing tanpa izin? Bagaimana pula dengan tindakan dan keberkesanan ESSCOM?

Ini menunjukkan bilangan koloni setinggan yang terdapat di Sabah bukan kecil dan memberi petunjuk secara kasar bahawa masih terdapat ramai lagi PATI yang berada di Sabah.

Saya ingin tegaskan bahawa DAP Sabah tidak bermusuh dengan mereka yang datang ke Sabah atas faktor ekonomi demi menampung kehidupan. Namun, kedatangan warga asing ini perlulah melalui saluran yang betul agar ia memberi impak yang positif terhadap pembangunan Sabah serta tidak mengancam keselamatan begitu juga demografi politik dan masyarakat di sini.

Insiden malang yang menimpa Apolos Jeremos ketika menjalankan tugas ialah antara akibat dari penguatkuasaan yang lemah. Hanya dengan penguatkuasaan undang-undang dan tindakan yang bersepadu dapat menghalang insiden ini dari berlaku.

Adakah kerajaan BN benar-benar telah beriltizam dan bertindak untuk menangani isu PATI ini atau hanya sekadar mainan janji demi menyedapkan hati orang Sabah? Atau, ia menjadi bukti sebagai kegagalan terbesar dan mimpi ngeri lebih 50 tahun rakyat Sabah? – Roketkini.com

 

* Penulis adalah Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu