Rencana

Demokrasi tempatan: Lebihkan atau kurangkan politik?

Terdapat dua set idea yang bertembung apabila kita membincangkan demokrasi tempatan di Malaysia. Sementara sesetengah menyeru agar pilihan raya tempatan diadakan, terdapat juga sesetengah aktivis yang menggesa agar “kurangkan politik, lebihkan pelantikan profesional” untuk majlis tempatan.

Dalam satu persidangan tentang desentralisasi yang diadakan di Pulau Pinang pada September 2014, seorang aktivis sosial dan ahli majlis berpandangan bahawa Malaysia seharusnya meneladani Seoul, Korea Selatan untuk melantik seorang Datuk Bandar yang berlatarbelakangkan NGO, dan beliau melanjutkan huraiannya tentang kelemahan untuk meletakkan seorang ahli politik di peringkat majlis.

Saya pernah bertemu dengan Park Woon Soon dua kali. Beliau adalah seorang peguam hak asasi manusia yang menjadi aktivis sosial dan kemudian menjadi Datuk Bandar Seoul. Park terkenal sebagai aktivis hak asasi manusia sehingga tahun 2000 apabila pilihan raya demokrasi berakar-umbi di Korea.

Beliau beralih kepada aktivisme sosial dan menubuhkan beberapa kumpulan untuk menggalakkan lebih penyertaan dalam pentadbiran hal-ehwal hidup harian komuniti. Kumpulan ditubuhkan untuk mempertingkatkan rangkaian pengangkutan bas atau kemudahan komuniti. Park menggelar ia sebagai “do tanks” (kumpulan bertindak), sebagai tentangan kepada “think-tanks” (kumpulan pemikir), yang mana beliau menganggapnya sebagai kedai bersembang.

Saya bertemu dengan Park buat kali pertama di Institut Harapan (Hope Institute)-nya pada tahun 2010. Kali kedua saya bertemu dengan beliau di pejabat Datuk Bandar Seoul-nya pada tahun 2012, setahun selepas beliau menang dalam pilihan raya kecil.

Beliau kemudian menjadi calon yang paling handal daripada pembangkang untuk pilihan raya Presiden akan datang. Kebangkitan beliau dari Datuk Bandar berlatarbelakangkan NGO kepada pemimpin pembangkang nombor 1 sudah pasti sesuatu yang menarik.

Padahal, dalam tiga buah negara Asia yang berjaya dalam peralihannya dari autoritarian kepada demokratik, iaitu Korea Selatan, Taiwan dan Indonesia – pilihan raya tempatan memainkan peranan yang penting. Tanpa demokrasi tempatan, kemunculan pemimpin baru seperti seorang pengeksport perabot, Jokowi, tidak mungkin meraih kredibilitinya sebagai pentadbir, di mana pengalaman ini digunakan beliau kemudiannya untuk menentang pesaingnya, Jeneral Prabowo, yang berasal dari latar belakang elit.

Apabila lebih berpolitik di peringkat tempatan, ia membuka kemungkinan untuk lebih risiko dan eksperimen untuk mengambil tempat tanpa mengundang kesan negatif kepada satu masyarakat secara keseluruhannya (yang akan terjadi kadang-kala apabila ahli politik baru atau parti politik memegang tampuk kuasa).

Sememangnya, Datuk Bandar yang popular tidak menjanjikan Presiden yang baik. Chen Shui-bien dari Taiwan mahupun Lee Myung Bak dari Korea adalah contoh yang menjelaskan kegagalan tersebut.

Seandainya kita menilai peralihan demokrasi di Asia, sesetengah masih boleh mempertikaikan bahawa sementara demokrasi memperlihatkan sumbangan yang nyata ke arah kesesuaian hidup dalam kota di Korea dan Taiwan (juga Indonesia, pada tahap yang lebih rendah), politik nasional dalam negara ini masih belum mencapai paras optimal dalam membawa kesejahteraan yang terbaik untuk pengundinya.

Dalam persidangan desentralisasi yang sama di Pulau Pinang, seorang peguam veteran yang berpusat di Ipoh mendakwa, “…tiada politik dalam pengutipan sampah, maka politikus tidak harus muncul di peringkat kerajaan tempatan.”

 

Keuntungan daripada pembersihan tandas

Saya menjelaskan secara panjang lebar kepada peguam itu bagaimana kontrak pengutipan sampah menjadi salah satu habuan yang paling penting untuk pegawai tempatan dan bagaimana menyingkirkan kontraktor ini melalui pengupahan secara terus mampu mewujudkan peluang pekerjaan untuk tempatan. (Saya akan membincangkan perubahan yang berlaku di Majlis Perbandaran Seberang Perai, setelah menamatkan semua “outsourced” pengutipan sampah yang pada Julai 2014 dalam artikel saya akan datang.)

Antara berita yang paling lucu pada tahun 2014, apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan mengumumkan hasratnya untuk mengambil alih pengurusan semua tandas awam di Semenanjung.

Jelas, nilai kontrak untuk pembersihan tandas berbaloi untuk merisikokan diri kepada sindiran awam. Justeru itu, terdapat banyak politik dalam pengutipan sampah malah pembersihan tandas awam!

Mereka yang mengesyorkan agar “kurangkan politik dalam kerajaan tempatan” selalunya memetik Seksyen 10 (2) dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976:

“Anggota Majlis pihak berkuasa tempatan hendaklah dilantik dari antara orang yang bilangan terbesar daripada mereka hendaklah orang yang biasanya bermastautin dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu dan yang pada pendapat Pihak Berkuasa Negeri mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan atau yang telah memperoleh kejayaan terpuji dalam sesuatu profesion, perdagangan atau perindustrian, ataupun yang mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan komuniti mereka dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu.”

Untuk hampir 40 tahun sejak akta itu dikuatkuasakan, amat sedikit ahli majlis yang mencapai tahap keunggulan profesional. Adalah tidak realistik untuk mengandaikan bahawa profesional lebih mewakili kepentingan komuniti. Adalah naif untuk mengandaikan bahawa seseorang boleh menghindarkan politik di peringkat tempatan.

Laporan Athi Nahappan (1968, mukasurat 3) berkata sedemikian,

“Sebagai teknik, demokrasi melambatkan, membebankan dan mahal. Namun demikian, terdapat satu jalur kuasa yang mencadangkan bahawa demokrasi seharusnya diteruskan untuk diperkenalkan dalam kerajaan tempatan dalam negara ini sebagaimana di peringkat persekutuan dan negeri. Benar, ia tidak berjalan secara berkesan di kebanyakan kerajaan tempatan, terutamanya di majlis tempatan.

“Penawarnya bukan dengan menyingkirkan demokrasi tetapi mencari jalan untuk menyerlahkannya. Di Malaysia, perjalanan yang dilalui demokrasi dalam kerajaan tempatan amatlah pendek dan berkecai-kecai, samada dari segi ruang mahupun masa. Tiada kerosakan besar yang pernah berlaku sehingga membuktikan bahawa demokrasi perlu digantikan secara total.

“Apapun kelemahan yang dialami boleh dipersalahkan punca lain yang memerlukan pengubahsuaian yang menyeluruh, koordinasi dan pengukuhan untuk memperbaiki sistem ini.”

 

Pelupusan kuasa persekutuan

Jadi hujah bahawa kita perlu mengurangkan politikus di peringkat kerajaan tempatan meleset dan tidak konsisten dengan seruan perkembangan demokrasi tempatan secara keseluruhan melalui pilihan raya. Namun, untuk mengadakan pilihan raya tanpa menyusun semula institusi demokrasi tiga peringkat ini bakal mengundang bencana.

Buat masa kini, kuasa tertumpu di peringkat kerajaan persekutuan (sebenarnya ia kini dalam tangan Perdana Menteri), sementara kuasa yang dimiliki kerajaan negeri amatlah sedikit. Di samping itu, majlis tempatan pula mempunyai kuasa yang penting untuk menguruskan hal-ehwal hidup harian warga biasa.

Pada tahun 2014, terdapat 16 majlis tempatan yang mana belanjawannya melebihi RM100 juta, malah 4 daripadanya melebihi RM250 juta – Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Ironinya, belanjawan untuk kerajaan negeri Perlis pada tahun 2014 hanyalah RM244.5 juta.

Sekiranya majlis tempatan menamatkan operasinya, kesan segeranya yang dapat diperlihatkan berlaku dalam bidang kerja pemotongan rumput, pembersihan longkang, pembaikan jalan dan hal-ehwal tempatan yang berada dalam lingkungan autoriti tempatan.

Pernah saya berjenaka bahawa tiada siapa yang akan perasan seandainya kerajaan negeri tidak beroperasi untuk setahun memandangkan tidak banyak yang berada di bawah penguasaan negeri, kecuali sumber semula jadi (termasuk air), majlis tempatan dan hal-ehwal agama.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 direka supaya autoriti tempatan berkhidmat hampir seperti cawangan daripada kerajaan negeri.

Tanpa melepaskan kuasa dan peranan kerajaan persekutuan kepada negeri dan tanpa menyusun semula majlis tempatan, pilihan raya tempatan akan memberi laluan kepada persaingan kuasa antara kerajaan negeri dengan autoriti tempatan (di mana ianya bukan hasrat mereka yang mengesyorkan demokrasi tempatan).

Jadi, demokrasi tempatan seharusnya datang bersama desentralisasi dan pelepasan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri untuk reformasi yang menyeluruh.

Adakah kita perlu lebih politik di peringkat tempatan? Jawapan saya ialah “Ya.” – Roketkini.com

*Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang.