Berita

Kemasukan 1.5 pekerja Bangladesh rampas peluang anak tempatan

KUALA LUMPUR 3 OKT: DAP Perak menyarankan Kerajaan Persekutuan supaya menangguh cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, sebaliknya menumpu usaha memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Pengerusi DAP, V Sivakumar mempersoal kewajaran membawa masuk sebegitu ramai pekerja asing ketika ekonomi negara semakin merudum dan aktiviti perniagaan lembap.

Bimbang kemasukan itu menjejaskan peluang pekerja tempatan, Ahli Parlimen Batu Gajah itu juga tertanya-tanya sama ada kajian terperinci mengenai keperluan itu ada dibuat atau sebaliknya.

“Adakah negara kita benar-benar mengalami krisis kekurangan pekerja? Negara kita sudah dibanjiri pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan negara lain.

“Atau, adakah kerajaan mahu membantu kroni tertentu membuat keuntungan berbilion ringgit hasil urusan membawa masuk pekerja asing itu?” katanya pada kenyataan media, semalam.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh dari pelbagai sektor akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Tanpa menafi peranan pekerja asing, Sivakumar berkata, kehadiran dalam jumlah terlalu besar boleh menggugat kedudukan sosio-ekonomi negara, apatah lagi sebahagiannya memasuki secara haram.

“Ia menjadi pemangkin menjana aktiviti ekonomi. Tetapi, penggantungan keterlaluan juga banyak membawa keburukan kepada negara,” katanya.

Beliau khuatir mereka merampas peluang anak muda tempatan berikutan kegagalan kerajaan mengawal mereka hingga ada memulakan perniagaan, mendirikan rumah tangga, malah menjadi warganegara Malaysia.

“Nampaknya warga asing lebih makmur di tanah air ini. Rakyat tempatan rugi kerana pekerja asing sanggup menjadi buruh murah. Ini memaksa pekerja tempatan juga dibayar gaji murah.

“Kebajikan pekerja tempatan juga tidak dipeduli. Dalam keadaan ekonomi meleset, kos hidup tinggi dan gaji rendah menjejaskan ekonomi rumah tangga pekerja tempatan,” katanya.

Beliau juga bimbang pekerja asing itu membawa bersama pelbagai penyakit yang memudarat penduduk, selain sebahagian mereka cenderung terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah. – Roketkini.com