Berita

‘Gigih’ cari murid hilang tapi aspek keselamatan masih ‘dikaji’

KUALA LUMPUR 9 OKT: Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto kesal berikutan Kementerian Pendidikan hanya ‘gigih’ mencari anak orang Asli yang hilang tetapi prasarana sekolah termasuk aspek keselamatan masih ‘dikaji’.

“Di Malaysia, setelah nasi menjadi bubur, masa itulah semua pihak kerajaan tergopoh-gapah menunjukkan mereka berusaha ‘gigih’ mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang di Gua Musang lebih sebulan lalu.

“Sepatutnya, kualiti pendidikan terbaik, prasarana yang kondusif serta keselamatan pelajar diberi keutamaan Kementerian Pendidikan memandangkan ia pelaburan terbaik bagi masa depan sesebuah negara,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Mayat kanak-kanak perempuan ditemui reput di Sungai Perias, berhampiran Pos Tohoi, dekat Gua Musang malam tadi yang dipercayai antara tujuh murid SK Pos Tohoi yang hilang sejak Ogos lalu.

Tujuh murid, enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Kasturi berkata, Kementerian Pendidikan harus dipertanggungjawab kerana gagal menjamin prasarana yang kondusif dan selamat bagi kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang, Kelantan itu.

Katanya, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk mengkaji aspek keselamatan di 94 asrama pelajar orang Asli selepas 58 tahun mencapai kemerdekaan, amat dikesali.

Berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR), beliau berkata, banyak persoalan membelenggu kejadian khussunya isu pengawal keselamatan, ketiadaan warden wanita dan kelemahan garis panduan kementerian berkenaan.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang itu juga tertanya-tanya sama ada nisbah murid kepada warden iaitu 40:1 berlandas
garis panduan tumbesaran kanak-kanak dan sama ada mereka dilengkapi pengetahuan psikologi kanak-kanak.

“Mungkinkah ia salah satu sebab yang mendorong kanak-kanak itu melarikan diri? Kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya. Apakah keadaan sebenar sekolah itu hingga kanak-kanak terpaksa berlari keluar untuk mandi di sungai berdekatan?” katanya.