Berita

Umum dua set data parameter atasi kekeliruan bacaan IPU jerebu

KUALA LUMPUR 1 DIS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu memastikan kekeliruan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada masa depan tidak berulang bagi memudahkan orang ramai membuat persediaan berdepan masalah jerebu yang berulang saban tahun.

Justeru, Ahli Dewan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin mencadangkan bacaan berlainan parameter, sama ada berdasarkan parameter PM2.5 atau PM10 diumumkan secara bersama.

Beliau berkata, pengumuman bersama itu perlu berikutan hanya 12 daripada 52 stesen menggunakan parameter PM2.5 tetapi bacaan IPU di negara ini umumnya menggunakan PM10 berikutan bukan semua stesen ada komponen PM2.5.

“Laman web JAS patut papar dua set data kerana kadang kala kita perhatikan cuaca cerah tetapi bacaan IPU cecah tahap kritikal atau bacaan rendah (normal) tetapi kelihatan sangat kabur,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

tan hong pinHong Ping berkata, data IPU pada laman web JAS berdasarkan min (purata) untuk 24 jam sebelum tetapi bacaan itu kadang-kala mengakibat kekeliruan apabila bacaan mesin berbeza dengan suasana sebenar.

“Untuk mengelakkan kekeliruan, saya cadangkan JAS mengumumkan bacaan min mengikut rujukan tiga jam terdekat selain mengekalkan rujukan 24 jam terdekat,” katanya.

Katanya, ia perlu berikutan ramai mempertikai bacaan JAS sebagai tidak tepat apabila membandingkannya dengan bacaan di Singapura, misalnya IPU Singapura menunjukkan 220 tetapi IPU di Kluang hanya 150.

“Mereka tertanya-tanya sama ada bacaan JAS itu silap atau Singpura menggunakan peralatan lebih canggih?” katanya

Beliau berkata, perbezaan itu disebabkan Malaysia menggunakan parameter PM10 manakala Singapura PM2.5 iaitu piawaian untuk menguji zarah bersaiz 2.5 mikrometer iaitu empat ganda lebih kecil berbanding PM10.