Sastera

CERPEN: Benarlah, saya bukan lagi seorang penukang!

KETIKA pertama kali memasuki rumah jiran saya, saya mengatur bicara dengan santun berbahasa, kata-kata beralas juga senyum mesra. Anehnya, kata-kata saya itu seperti rama-rama yang bebas berterbangan dan terus keluar mengikut jendela tanpa sebarang halangan.

Ya, saya melihat ucapan salam dan kata-kata yang keluar dari mulut saya tiba-tiba bersayap indah seperti rama-rama dan pergi begitu sahaja. Sehinggalah sekian lama menanti, senyum saya dibalas dengan senyum sinis dan jiran saya itu mengerling saya lama-lama sebelum dia mula bersuara.

“Wahai penukang muda, sudah bersediakah kau untuk mati?”

“Usia saya masih hijau. Mana mungkin saya sudah bersedia untuk mati. Saya mahu menjadi penukang sejati seperti tuan yang dikagumi. ”

“Usah kau bermimpi wahai penukang muda. Aku akan ajarkan kau tetang betapa kejam dan tidak adilnya dunia.”

“Apakah tersiratnya bicara tuan?”

“Tiada sesiapa boleh menjadi penukang sejati. Hanya aku yang harus dikagumi. Biarlah aku sahaja yang dihormati dan kau harus mati!”

* * *

Saya bukan lagi seorang penukang seperti watak-watak saya pada masa lalu yang pernah dipinjamkan Tuhan. Walaupun pada dasarnya saya memang gemar akan segala kerja tukang-menukang. Menjadi seorang penukang adalah atas rasa kerelaan dan kesukaan yang menebal-nebal dalam jiwa saya sendiri.

Saya melakukan kerja menukang tidak kira malam atau siang, asal ada keinginan membuak-membuak, saya lekas-lekas mengambil alatan tukangan saya. Bertukang pada waktu malam adalah perkara biasa sehinggalah saya perasan bahawa jiran saya juga suka bertukang pada waktu malam.

Ketika itu, dia memang bersungguh-sungguh menukangi rumahnya agar lebih mempesonakan dengan pena tuanya. Mungkin sudah ditakdirkan kami tinggal berjiran dan jiran saya sememangnya seorang penukang yang sudah punya nama dalam bidang tukang-menukang ini di peringkat nasional. Saya begitu kagum dengan jiran saya dan sentiasa menjadikannya sebagai idola dalam lapangan kerjaya sebagai seorang penukang.

Lihat sahaja rumahnya yang lebih agam hasil tukangannya sendiri dengan menggunakan pena tuanya. Rumahnya telah lama merentasi zaman ke zaman jika hendak dibandingkan dengan rumah saya yang lebih sederhana saiznya. Sebenarnya sebelum saya lahir lagi rumahnya telah bertapak di sini dan hasil tukangan jiran saya yang menggunakan pena tuanya telah melahirkan rasa kekaguman bukan sahaja dalam kalangan penduduk-penduduk di daerah kami, malah seluruh negeri.

Begitulah pengalaman jiran saya yang telah mendewasakannya sebagai seorang penukang yang ternama. Rumahnya begitu gemilang disimbahi cahaya pada malamnya sehinggakan kami sentiasa terpesona pada rumahnya. Sesekali saya mencuri pandang melihat rumah jiran saya yang juga idola saya sejak di bangku sekolah itu dengan harapan saya termotivasi untuk menjadi penukang yang berjaya sepertinya serta memiliki rumah agam yang dikagumi masyarakat negeri.

Pernah juga beberapa kali saya mengintai dari jendela dan selalunya di hujung-hujung tahun, rumah jiran saya akan meriah dengan keramaian dan dihadiri oleh penukang-penukang yang saya kenali melalui majalah-majalah dan akhbar-akhbar yang sinonim dengan kerja tukang-menukang di tanah air kita.

Suasana di rumah jiran saya seperti pada hari raya dengan kehadiran tetamu yang pelbagai genre dan citra busananya. Ucapan tahniah melata-lata di kawasan halaman rumah jiran saya. Jauh di sudut hati, saya menyimpan impian untuk menjejaki rumah jiran saya dan mengenalinya dengan lebih rapat.

* * *

Ya, saya bukan lagi seorang penukang. Saya telahpun mati dibunuh dengan kekejaman yang tidak disangka-sangka. Saya semakin percaya dunia ini penuh dengan dusta. Siapalah saya yang hanya seorang remaja untuk menangkis kuasa yang lebih dominan di mata manusia. Saya mati dibunuh oleh jiran saya sendiri- jiran yang pernah saya kagumi.

Jantung saya ditusuk-tusuk dengan hujung pena tuanya tanpa sekelumit pun rasa kasihan dan kemanusiaan. Kematian saya tidak dibela oleh sesiapa pun kerana saya hanyalah seorang remaja yang tiada apa-apa.

Sejak itu, saya kira tamatlah riwayat saya sebagai seorang penukang. Jika adapun yang masih mengingati hasil tukangan saya iaitu rumah saya yang tidak seberapa itu, saya sangat-sangat menghargainya. Dan janganlah mencari saya lagi kerana dunia kita telah pun berbeza sejak saya menjadi hantu.

Di sebalik jendela dimensi realiti, saya mengintai jiran saya yang begitu asyik menikmati harum bunga-bunga di halaman rumahnya. Ketika itulah saya menyelinap masuk ke dalam rumahnya melalui dinding keras tanpa kepayahan menembusinya dan saya mencari pena tuanya yang telah berhasil membunuh saya untuk saya sembunyikan darinya tanpa keraguan.

Jiran saya mulai resah sejak pena tuanya hilang tidak diketahuan. Saya pula gelak berdekah-dekah tanpa rasa kasihan. Seperti tiada lagi pertimbangan. Maklumlah, sejak tidak lagi menjadi manusia, saya juga telah kehilangan kemanusiaan. Yang ada hanya dendam pembalasan.

Bukankah begitu juga yang diajar oleh jiran saya sebelum saya menemui kematiaan? Ya, dia mengajar saya akan sebuah kekejaman yang dimuliakan.

Sebermulanya detik itu, jiran saya mula tidak nyenyak tidurnya memikirkan ke mana hilangnya pena tua. Tiada lagi upayanya untuk menukang rumahnya menjadi lebih mempesonakan ketika lewat malam menjelang. Keresahan pula tiada henti bertandang. Jahatkah saya sebagai hantu membalas dendam, memulakan segala-galanya setelah begitu kejam riwayat saya dinoktahkan?

Saya fikir begitulah saya seadanya setelah menjadi hantu. Saya bukan lagi manusia yang seharusnya mempunyai kemanusiaan. Ketawa saya berderai-derai lagi tanpa henti melihat jiran yang kian kurus melidi.

Sampai suatu ketika, rambut jiran saya gugur hari demi hari sehinggakan manusia yang pernah mengenalinya tidak lagi mengenalinya. Akibat tidak lama menukang, rumahnya kelihatan suram dan tidak lagi disebut-sebut masyarakat negeri. Halaman rumah jiran saya juga tidak lagi ditumbuhi bunga-bunga harum. Dan tiada juga keramaian seperti hari raya yang sering saya lihat sebelum ini.

Entah setelah beberapa tahun saya menyembunyikan pena tua yang merupakan milik jiran saya sendiri, ketawa saya menjadi sangat ironi kerana dekah-dekah ketawa saya turut disertai jurai air mata tanpa saya pasti sebabnya.

Mungkin kerana setiap pagi saya melihat jiran saya akan menangis menginsafi kemegahan dan kesombongan yang pernah dipuja. Air matanya dikumpul untuk menyiram bunga-bunga di halamannya yang telahpun layu, malah tidak lagi berseni.

Setelah merujuk pakar perubatan di dalam dunia hantu, saya dikatakan memiliki jiwa halus kerana ketika riwayat saya sebagai manusia, saya merupakan pencinta dunia tukang-menukang yang sememangnya digemari oleh mereka yang berjiwa halus. Saya kian mengerti bahawa saya kasihankan jiran saya yang dahulunya pernah saya kagumi dalam diam dan saat saya mengatur langkah keluar dari bilik pakar perubatan, saya mengambil keputusan untuk mengembalikan pena tuanya.

Saya kira, saya perlu memaafkannya kerana di penghujung perjalanan dunia, kemuliaan itu tetap milik sesuatu yang baik-baik sahaja. Saya juga berazam untuk menjadi hantu yang baik dan tidak akan menganggu manusia lagi kerana dunia kami ternyata sudah berbeza.

Benarlah, saya bukan lagi seorang penukang!

 

* Haniff Yusoff adalah penulis muda yang cenderung menulis cerpen dan karya pernah termuat dalam akhbar dan antologi bersama penulis lain. Beliau juga memiliki antologi cerpen persendirian  berjudul Zombi Rumi