Berita

UMNO manipulasi sentimen agama punca DAP dipandang serong

KUALA LUMPUR 7 JAN: Manipulasi sentimen agama yang didalangi propaganda UMNO BN terhadap DAP antara punca parti pembangkang itu dipandang serong dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam termasuk fitnah isu Israel.

Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berkata ia antara sebab utama masyarakat Melayu- Islam khususnya di luar bandar melabel DAP melalui fitnah dan hasutan sebagai kononnya anti-Islam dan dituduh mengamal sikap perkauman.

“DAP terpalit dengan sentimen kononnya anti-Melayu dan anti-Islam. Justeru, isu yang DAP bawa walaupun dalam wajah yang baik, tetap akan ditolak. Ini kerana, budaya beragama orang Melayu bukan berasaskan kepada rasional tetapi berasaskan sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Roketkini ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini yang menyatakan masyarakat Melayu luar bandar terpengaruh dengan propaganda UMNO BN terhadap DAP.

Bagaimanapun, beliau bersetuju betapa kempen memburuk-burukkan DAP gagal di kawasan yang diwakili parti itu kerana pengundinya mendapat maklumat sebenar yang terpancar melalui kesungguhan pemimpin parti itu membela rakyat sekaligus sukar dipengaruhi propaganda UMNO BN.

Kerjasama PAS-UMNO pula kebelakangan ini, kata Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) AMK Malaysia itu, antara faktor yang menambah dorongan orang Melayu luar bandar terutama ahli dan penyokong PAS, untuk semakin menolak DAP.

“Apabila mereka bekerjasama dengan UMNO atas alasan ‘bermusuh dengan DAP’,ia memberi implikasi besar pada sudut pandangan pengundi Melayu atas pagar, konon DAP anti-Islam dan anti-Melayu walaupun saya tidak anggap begitu,” katanya.

zuhdi fitnah dapBeliau berkata, kenyataan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki yang dipetik dari blog dengan memfitnah DAP bersekongkong Israel pula menambah kesan buruk kepada kepercayaan orang Melayu luar bandar terhadap parti itu.

“Selain tindakan saman, DAP perlu berusaha membina gambaran betapa DAP tidak ada hubungan dengan Israel,” katanya sambil menyarankan media rasmi parti itu harus menyediakan halaman berkaitan isu Melayu dan Islam bagi mendedahkan pendirian sebenar parti itu.

Untuk mengelakkan DAP terus dipandang serong, beliau juga mencadangkan pemimpin parti itu menggunakan bahasa lebih lunak dalam menanggapi perbezaan dengan PAS, bukan kerana PAS di pihak yang benar tetapi demi menjaga sentimen Melayu terhadap parti itu.

“DAP masih lemah dalam projek penerangan tentang sikap DAP terhadap isu Islam dan Melayu di Malaysia sehingga gagal menandingi propaganda yang disebarkan oleh UMNO,” katanya.