Berita

Tak peduli bantahan rakyat, Pahang berdegil naikkan caj 200 peratus

KUALA LUMPUR 3 FEB: Kerajaan Pahang tetap berdegil menaikkan caj urusan di pejabat tanah sebanyak 200 peratus tanpa mempeduli segala bantahan pelbagai pihak dalam pertemuan antara mereka, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang mengatur pertemuan itu, berkata rakyat  tidak puas hati kerana caj baru itu tidak munasabah dan kesal kerana ia tidak diendah.

Naib Pengerusi DAP itu  kesal berikutan kerajaan Pahang menutup mata terhadap keperitan rakyat yang sedia terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang melambung tinggi, kebelakangan ini.

“Wajarkah naikkan caj sewaktu rakyat sedang sengsara akibat kos kehidupan semakin meninggi? Inilah keangkuhan dan kesombongan UMNO BN. Tindakan kerajaan Pahang samalah macam Kerajaan Persekutuan. Jika wang berkurang, rakyatlah yang jadi mangsa,” katanya kepada Roketkini.

Sebelum ini, penduduk Pahang dikejutkan dengan kenaikan caj urusan melampau iaitu RM100 untuk setiap carian berbanding kadar lama RM30, carian persendirian naik dari RM20 kepada RM50 dan urusan salinan sah hak milik dokumen dari RM30 kepada RM50.

Segenap lapisan rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), malah Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) membantah keras kenaikan itu.

Jika kerajaan Pahang mahu menaikkan hasil negeri, kata Tengku Zulpuri,  banyak cara lain boleh dibuat termasuk membaik pulih tatacara kerja menjadi lebih cekap dan  penguatkuasaan yang berkesan dan telus.

Beliau juga mahu tahap perkhidmatan kerajaan negeri ditambah baik dan menyifatkan kenaikan caj itu tidak sepadan dengan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

“Kelulusan permohonan tanah mengambil masa yang begitu lama, malah ratusan ribu permohonan di seluruh daerah masih belum selesai.

“Begitu juga dengan urusan tanah yang terhakis akibat bencana alam seperti banjir dan pengambilan tanah yang tiada gantian. Semuanya lambat diuruskan kerajaan Pahang.

“Kerajaan Pahang perlu membaiki cara kerja, penguatkuasaan dan perkhidmatan mereka supaya hasil negeri bertambah dan rakyat tidak perlu dibebankan dengan kenaikan caj seumpama itu,” katanya.