Berita

Najib disenarai Menteri Kewangan paling teruk, ekonomi negara makin gawat

 

KUALA LUMPUR 3 FEB: Laporan portal kewangan antarabangsa, FinanceAsia dua hari lalu yang menyenarai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan paling teruk di rantau Asia Pasifik, menjejaskan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata lebih ramai pelabur dijangka hilang kepercayaan terhadap sistem kewangan negara berikutan laporan itu, sekaligus  mungkin menambah kegawatan ekonomi Malaysia tahun ini.

“Pelabur tentu takut untuk melabur wang di negara yang dicop teruk oleh portal kewangan antarabangsa dan akan memilih sebuah negara yang stabil ekonomi dan politiknya.

“Tidak mustahil pelabur yang sedia ada di Malaysia menarik balik pelaburan kerana bimbang akan mengalami kerugian di sebuah negara yang mempunyai Menteri Kewangan paling teruk,” katanya pada Roketkini.

Beliau berpendapat penyenaraian itu juga memberi kesan buruk kepada imej negara terutama dari aspek integriti, ketelusan dan kecekapan, lebih-lebih lagi faktor utamanya ialah skandal derma RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Selama inipun media antarabangsa menumpu perhatian kepada Malaysia apabila pendedahan skandal derma dan 1MDB oleh Wall Street Journal (WSJ).

“Selepas laporan FinanceAsia itu, imej negara sebagai sebuah negara yang berintegriti, amanah dan telus akan lebih teruk terjejas, terutama dari sudut kewangan,” katanya.

Naib Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan itu berkata, semenjak Najib menjadi Menteri Kewangan pada 2008, pelbagai isu dan rasa tidak puas hati timbul dalam kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Ia ekoran kejatuhan mendadak nilai mata wang negara akibat keadaan politik dalaman tidak menentu dan skandal kewangan yang semakin mendapat liputan dunia, di samping ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Sejak 20 tahun lalu, tidak pernah nilai mata wang kita serendah ini, namun ia menjadi teruk selepas pendedahan skandal Najib. Apabila ia rendah, semua harga barang diimport semakin mahal, walaupun ia dari China.

“Hutang kerajaan juga semakin meningkat dan kini mencecah RM614 bilion. Rakyat melihat Najib sebagai Menteri Kewangan yang tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Katanya, beban hidup rakyat semakin meningkat sejak Kementerian Kewangan diuruskan Najib terutama apabila pelaksanaan pelbagai dasar menekan rakyat seperti pengurangan subsidi beras dan minyak serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Banyak subsidi dipotong semasa Najib menjadi Menteri Kewangan. Harga petrol sekarang agak rendah kerana harga minyak dunia pada paras rendah. Bayangkan jika ia pada paras tinggi?. Bukankah ia membebankan rakyat?

“Najib menguar-uar GST yang membantu ekonomi negara sekarang. Namun, sebelum Najib memegang Kementerian Kewangan dan GST dilaksanakan, mengapa ekonomi negara kita tidak pernah seteruk hari ini?

“Malah, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor yang tidak menggunakan hasil kutipan GST mampu  mengurus kewangan dan ekonomi mereka dengan baik,” katanya.