Berita

Umpama Perjanjian Pangkor, TPPA buka pintu penjajahan baru

 

KUALA LUMPUR 4 FEB: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasific (TPPA) yang ditandatangani Kerajaan Malaysia di New Zealand semalam, seakan-akan mengulangi peristiwa Perjanjian Pangkor yang menjadi titik awal campur tangan Inggeris di Tanah Melayu.

Tidak menolak kemungkinan bentuk ‘penjajahan’ itu berulang, Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan, Mohd Firdaus Babh menyifatkan TPPA sebagai suatu bentuk penjajahan ekonomi baru kerana percaya kerajaan Malaysia sebenarnya belum bersedia menyertai TPPA.

“Malaysia belum bersedia untuk persaingan besar begini, kerajaan harus mengendalikan negara dengan baik dahulu, isu dalam negara seperti isu bauksit dan kenaikan harga barang harus diatasi dulu, kerajaan perlu meningkatkan ketelusan pentadbiran.

“Jika tidak, tidak mustahil kedaulatan negara tergadai seperti perjanjian yang sebelumnya, jika TPPA dilaksanakan nanti dalam masa dua tahun akan datang,” katanya kepada Roketkini.

Semalam, 12 negara termasuk Malaysia menandatangani perjanjian itu selepas kabinet memutuskan melalui undi belah bahagi untuk meluluskan usul berkenaan di Dewan Rakyat yang menyaksikan 127 Ahli Parlimen menyokong manakala 84 membantah.

Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke mewakili penjajah Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri di Perak dan menguasai biji timah.

Perjanjian itu menyaksikan Perak terpaksa menerima Residen Inggeris yang pertama, Sir James WW Birch sekaligus menjejaskan kedaulatan negeri itu, sebelum ia diperluas ke negeri jajahan Inggeris lain.
Hasil perjanjian itu, penjajah Inggeris menguasai penuh sistem pentadbiran negeri kecuali urusan agama dan adat resam Melayu, sekaligus mengaut segala hasil mahsul di Perak.

Selain itu, beliau bimbang perjanjian berkenaan bakal mengakibatkan peniaga berkapasiti kecil dan sederhana di negara ini terpaksa bersaing dengan pemain ekonomi yang lebih mahir dan berdaya saing.

“Contoh, jika syarikat milik Amerika Syarikat seperti Walmart misalnya masuk ke pasaran tempatan, apakah yang akan berlaku kepada peruncit? Kerajaan tidak dapat menghalang akibat ada perjanjian berkenaan,” katanya. -Roketkini.com