Rencana

Impian Perak: Jeti baru Kampung Esso ceriakan nelayan kecil dan penduduk


TELUK INTAN, 5 FEB: Hasil kerja keras Impian Perak bersama DAP Perak, penduduk dan nelayan kecil Kampung Esso kini mampu menarik nafas lega dan gembira apabila jeti lama kampung mereka akan dibaik pulih dan digantikan dengan jeti yang baru.

Jeti yang bakal dibina dalam tempoh dua minggu dengan menelan belanja hanya RM20,000 ini juga bakal memberi kesenangan dan keselesaan kepada seluruh nelayan-nelayan kecil yang mencari rezeki hasil sungai di sepanjang Sungai Perak.

Ini merupakan projek ke empat Impian Perak selepas pembinaan sebuah rumah untuk warga tua di Tronoh, projek air graviti untuk masyarakat Orang Asal di Grik dan projek menurap padang bola di Batu Gajah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, Terence Naidu, semua projek di bawah Impian Perak merupakan inisiatif DAP membela nasib masyarakat yang dipinggirkan tanpa mengira kaum, agama mahu pun ideologi politik.

“Impian Perak sesungguhnya telah memanfaatkan semua masyarakat iaitu masyarakat Cina, Melayu, India dan orang asal. Ini jelas membuktikan DAP adalah untuk semua dan tidak hanya memihak pada satu kaum yang khusus sahaja,” kata Terence.

Katanya, masih ramai kelompak masyarakat yang tertinggal dan di abaikan kerajaan meskipun sudah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Saya amat gembira dengan kejayaan Pusat Komuniti DAP Teluk Intan yang telah berjaya merealisasikan projek jeti ini dibawah Impian Perak,” kata beliau.

Menurut Terence, selain jeti yang dhaif , nelayan-nelayan kecil ini juga sebelum ini tidak memiliki lesen untuk menangkap ikan walaupun telah berkali-kali dibawa kepada pihak berkenaan.

“Mereka benar-benar terpinggir dan diabaikan. Maka saya tidak berlengah dan terus membawa isu nelayan ini ke Sidang DUN dan hasilnya kini impian mereka telah berjaya direalisasikan.

Menurut Pengerusi Pusat Komuniti DAP Teluk Intan, Dyana Sofya, projek jeti Kampung Esso berjaya direalisasikan dengan kempen derma RM10 yang dijalankan pada penghujung tahun 2015 dan sumbangan dana Impian Perak.

“Sebelum ini akibat jeti lama yang daif telah runtuh, nelayan terpaksa berenang untuk ke bot mereka setiap hari demi mencari rezeki. Alhmdulillah, Projek Jeti Kampung Esso ini dapat dilaksanakan kerana sumbangan orang ramai melalui kempen derma,” katanya.

Menurutnya, pembinaan jeti Kampung Esso ini di bawah pengawasan pakar dan berharap lebih banyak lagi aktiviti dapat di samping merapatkan hubungan sesama penduduk melalui konsep Pembinaan komuniti oleh komuniti. (Community building by community).

Menurut Pengarah Biro Hal Ehwal Luar Bandar & Desa DAP Perak dan koordinator Pusat Komuniti DAP Teluk Intan, Anida Osman, usaha murdi DAP ini membuktikan parti itu memperjuangkan semua kaum.

“Pelbagai kesulitan dan masalah timbul pada masa pasukan Pusat Komuniti DAP Teluk Intan mengelolakan projek Jeti Kampung Esso ini namun ini tidak mematahkan semangat kami untuk berjuang merealisasikan impian mereka untuk mendapatkan satu jeti yang selamat untuk digunakan. Menjayakan projek ini dengan pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi menjadikan kami lebih bersemangat untuk meneruskan projek ini tanpa menoleh ke belakang.

“Mereka ini telah terlalu lama tidak dipedulikan pada ketika mereka datang kepada kami. Kehadiran mereka ini merupakan satu petanda yang jelas bahawa mereka percaya DAP adalah parti untuk semua kaum sebagaimana yang telah lama kami potretkan,” kata beliau.

Salah seorang nelayan, saudara Abdul Manan berkata, beliau amat terharu dan meletakkan harapan apabila Terrence Naidu dan Syana Sofya bertindak terhadap masalah yang dialami mereka.

“Apabila Saudari Dyana Sofya dan Saudara Terence Naidu sedia mendengar dan mengambil tindakan terhadap masalah kami saya merasa amat terharu dan berharap agar masalah kami dapat diberi perhatian. Kini impian saya untuk mendapat lesen nelayan juga telah termakbul dan begitu juga sebuah jeti yang sempurna untuk digunakan.

Menurutnya, perasaannya berasa amat sedih apabila sebelum ini jeti yang sering digunakan itu rosak dan dibawakan arus.

“Kami tidak dapat turun ke sungai dengan selamat kerana terpaksa berenang untuk pergi ke bot kami. Keadaan ini amat merbahaya kerana risau menjadi mangsa ular yang berselindung disebalik semak di tepi sungai.

“Pernah sekali ada dikalangan kami tergelincir ke dalam air dan cedera di kaki. Tetapi itu tidak memberhentikan kami untuk mencari rezeki di sungai kerana ini lah sahaja sumber rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup saya menyara keluarga,” katanya yang mewarisi pekerjaan sebagai nelayan daripada ayahnya.

Bagi Pak Tam pula, beliau amat berterima kasih kepada Impian Perak dan DAP apabila bertindak menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Inilah hari yang paling gembira buat saya. Selama ini saya juga berasa susah hati kerana sukar untuk turun ke sungai mencari rezeki. Hidup saya telah lama bergantung pada hasil tangkapan di sungai,”ujar Ahmad Tarmizi yang lebih kenali dengan nama Pak Tam dikalangan rakan-rakan nelayan yang lain.

“Terima kasih kepada DAP kerana mendengar masalah kami,” kata Pak Tam.

Antara yang hadir untuk meninjau tapak jeti yang akan dibaikpulih itu ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bersama ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, ADUN Jalong, Loh Sze Yee, ADUN Mengelembu Lim Pek Har dan tidak ketinggalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V.bSivakumar bersama hampir 50 penduduk kampung.-Roketkini.com