Rencana

CATATAN: Dari aktivisme ke JKKK

SELESAI pilihan raya, aku mula membuat percaturan. Bagaimana nak terus bersama Yang Berhormat (YB) berkhidmat atau terus jadi katak lompat sana sini lawan rejim UMNO.

Mana lebih sesuai dengan keadaan sekarang. UMNO makin punah, begitu juga dengan Pakatan Rakyat. Aku cuba buat bijak dengan menganalisis kedudukan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Sahabat dalam PKR juga nampak goyah dengan isu dalaman. Tak kurang juga DAP dengan dakwaan krisis Cina chauvanisnya. Akhirnya, aku memilih untuk terus berada atas jalan sebagai wakil YB kawasan, membantu mana yang perlu.

JKKK

Aku dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kecil Kampung (JKKK) kawasan. Maka,bermulalah episod baru aktivisme aku bersama rakyat setempat. Fokus kami lebih jitu iaitu hanya dalam kawasan tertentu.

Tidaklah pening sangat nak fikirkan banyak benda. Aku cuba sesuaikan diri dalam ahli jawatankuasa yang terdiri dari pelbagai kaum dan usia. Paling muda dalam lingkungan 19 tahun dan paling tua, Puan Cheng berusia 58 tahun.

Kawasan JKKK kami melibatkan separuh kawasan dari YB dari PKR dan separuh lagi dari kawasan YB DAP. Majoriti penduduk adalah Cina golongan pekerja. Ada sedikit India dan sedikit lagi Melayu. Meskipun begitu, tidak rasa kekok aku bekerja bersama mereka.

Aktiviti masyarakat

Fungsi JKKK tidak susah. Jaga kawasan sekitar, laksanakan arahan YB, program perayaan, data penduduk dan kerjasama bersama penduduk setempat.

Antara yang selalu kami lakukan ialah bergotong royong membersihkan kawasan penduduk. Ini melibatkan penduduk setempat, Bomba, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah.

Di sinilah aku mengetahui hubungan antara kawasan YB, JKKK dan Pejabat Daerah sangat penting. Pejabat Daerah diwakili penghulu kawasan. Segala peruntukan melaksanakan program, aktiviti perlu melalui Penghulu. Peruntukan menjayakannya disalur melalui Pejabat Daerah.

Mujurlah sikap baik penghulu membantu kami memantapkan tugas. Dari atas bumbung hinggalah ke bawah rumah, kami bersama-sama membersihkannya.

Selain itu, JKKK juga dipertanggungjawab membantu melicinkan program kerajaan negeri dalam membantu pemberian wang kepada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU). Rasa puas apabila melihat wajah kegembiraan penerima bantuan, sungguh tak tergambarkan.

Pengunduran dari JKKK

Jodoh aku bersama JKKK tidak panjang. Aku terpaksa meletak jawatan atas sebab yang tak dapat diceritakan. Salah satunya komitmen aku terhadap keluarga. Meskipun aku ghairah dengan kerja lapangan itu tetapi tanggungjawab bersama keluarga sedikit aku abaikan.

Masalah kesihatan emak makin tidak mengizinkan aku untuk terus berada di mana aku suka. Namun, aku gembira diberi peluang berkhidmat bersama JKKK. Jika sebelum ini aku langsung kabur akan peranan JKKK, kini aku faham fungsi sebenarnya.

Sikap jujur yang ditunjukkan membuatkan aku hormat pada semua JKKK yang membantu kerajaan negeri selama ini.

 

*Rozroi ialah nama pena kepada aktivis DAP keturunan Melayu yang  bergiat aktif di Pulau Pinang