Berita

OSA: Cadangan Apandi langkaui doktrin pengasingan kuasa

KUALA LUMPUR 11 FEB: Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebenarnya cubaan badan kehakiman untuk melangkaui urusan pemerintahan eksekutif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How, berkata ia seolah-olah membelakangi kuasa yang diberi kepada wakil rakyat untuk meluluskan atau meminda undang-undang melalui parlimen.

“Apandi dalam bidang kuasa penghakiman, tugas beliau untuk membuat penghakiman. Mana boleh pinda sesuatu undang-undang sesuka hati, Apandi bukan wakil rakyat,” kata Ketua DAPSY Perak itu kepada Roketkini.

Pengasingan kuasa adalah asas amalan demokrasi yang membahagi urusan negara kepada tiga cabang utama iaitu Pemerintahan (eksekutif), Perundangan (legislatif) dan kehakiman bagi mewujudkan semak dan seimbang (check and balance).

Sabtu lalu, Apandi dilapor berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA dengan meningkatkan hukuman terhadap sesiapa yang terlibat membocor rahsia negara, malah turut mengheret pengamal media yang melaporkannya.

Beliau juga dilapor berkata ada kemungkinan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sepuluh kali dikenakan, malah pengamal media yang enggan mendedahkan sumber maklumat juga berdepan risiko sama.

Howard turut mengkritik cadangan Apandi yang disifatkannya sebagai menyekat kebebasan orang awam untuk mendapatkan akses maklumat melibatkan kepentingan serta kesejahteraan negara.

Dalam ruang kebebasan bersuara yang sentiasa disekat dan hampir tiada, katanya, cadangan Apandi membuktikan tiada hak seumpama itu diberi kepada rakyat walaupun negara mengamal sistem demokrasi.

“Tindakan itu seolah-olah menyekat kebebasan yang sebenarnya langsung tidak ada. Sepatutnya kerajaan harus menjaga dan memberi ruang untuk rakyat bebas bersuara, kemudian barulah undang-undang digubal bagi mengawalnya,” kata beliau. -Roketkini.com